Saman Sudah Dikeluarkan Kepada Yang Keluar UMNO

KUALA LUMPUR: Writ saman sudah dihantar kepada tiga ahli UMNO yang membuat keputusan keluar daripada parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata fasa pertama tindakan undang-undang itu difailkan terhadap tiga ahli parti berkenaan kerana tindakan itu disifatkan bercanggah dengan prinsip kesepaduan dan kesetiaan.

Katanya, fasa kedua akan membabitkan dua lagi ahli UMNO yang mengambil keputusan sama untuk keluar daripada parti, dipercayai berpunca daripada pelbagai sebab.

“Kita hantar tiga saja dulu, sebab mereka adalah yang terawal umum dan ambil keputusan untuk keluar daripada parti susulan kekalahan UMNO pada PRU-14.

“Writ saman terhadap dua lagi ahli UMNO yang keluar parti akan dilakukan pada fasa kedua,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Dua lagi ahli UMNO yang dimaksudkan adalah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.

Ditanya siapa yang akan mengendalikan tindakan undang-undang berkenaan, Shamsul dengan ringkas menjawab: “Kita akan kemukakan perincian dalam tempoh terdekat.

“(Datuk Seri) Azalina (Othman Said) bertindak sebagai penasihat undang-undang UMNO,” katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO malam tadi memaklumkan tindakan undang-undang terhadap ahlinya yang ‘lompat’ parti sudah dilakukan.

Keputusan itu, katanya, dilaksana bagi menghormati kehendak disuarakan ahli parti yang berasakan diri mereka dikhianati. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.