MCA Kekal Pendekatan Sederhana, Sedia Berkompromi

KUANTAN: MCA akan terus dengan pendekatan sederhana dalam usaha memupuk serta membina hubungan baik antara kaum lain di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, persefahaman yang sudah dipersetujui antara parti komponen Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama perlu terus dipertahankan, tanpa menggadaikan prinsip mana-mana parti.

“MCA sendiri dibentuk untuk membina hubungan baik antara kaum dan agama… kita mahu wujudkan toleransi dan penyatuan secara menyeluruh dalam suasana harmoni.

“Saya percaya, asas penubuhan BN juga berpandukan hasrat ini dan sudah pasti ia (BN) kekal sebagai platform terbaik untuk mempromosikan semangat toleransi, perpaduan dan keharmonian.

“Walaupun kita (MCA) boleh bertolak-ansur, namun dalam beberapa perkara seperti tindakan atau cubaan memecah-belah rakyat dengan menggunakan isu kaum dan agama, MCA tidak akan berkompromi dan tidak akan memberikan sokongan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi yang ingin menjenamakan semula BN dengan menawarkan keahlian secara terus kepada mana-mana pihak, tanpa perlu melalui saluran parti komponen BN seperti sebelum ini.

Lian Ker berkata, MCA secara dasarnya tidak melihat hasrat Ahmad Zahid itu akan mengurangkan pengaruh parti komponen BN yang lain dan berharap ia adalah keputusan yang dibuat secara kolektif dengan persetujuan semua parti komponen dalam BN.

“Pihak lain (parti komponen) boleh datang dan pergi atau memilih untuk bergabung dengan kami atau membentuk platform serupa bagi mempromosikan pendekatan kesederhanaan dan semangat toleransi.

“Kita (MCA) memberi jaminan kepada semua ahli dan rakyat bahawa tidak lama lagi, MCA juga sedia untuk berkompromi (dengan semua rakyat di negara ini), asalkan dengan semangat, niat baik dan menepati peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.