Ahli PKR Johor Mula Mengundi Hari Ini

JOHOR BAHRU – Proses memilih kepemimpinan PKR bagi negeri ini bermula hari ini membabitkan 24 cabang di seluruh negeri itu.

Johor menjadi negeri ketiga menjalankan proses pemilihan selepas Kedah dan Pulau Pinang yang sudah berlangsung 22 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din, berkata pemilihan yang berlangsung empat tahun sekali itu menyaksikan pengundian di Johor akan membabitkan kira-kira 20,000 ahli PKR yang layak daripada 24 cabang parti.

“Pengundian akan bermula jam 10 pagi ini dan berakhir pada jam 5 petang. Kita jangkakan keputusan awal boleh diketahui seawal jam 6 petang dan akan dipaparkan di pusat tempat mengundi setiap cabang.

“Dari semasa ke semasa juga kita akan memaparkan maklumat terkini keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di portal www.pemilihankeadilan2018.com,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Pada pemilihan kali ini, ahli parti akan memilih jawatan MPP iaitu timbalan presiden, naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat, ketua Wanita pusat dan ahli MPP.

Bagi pemilihan peringkat cabang, ahli PKR akan memilih ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan 15 ahli jawatankuasa cabang, selain ketua AMK cabang, timbalan ketua AMK cabang, naib ketua AMK cabang dan 15 ahli jawatankuasa AMK cabang.

Selain itu turut dipilih ialah ketua Wanita cabang, timbalan ketua Wanita cabang, naib ketua Wanita cabang dan tujuh ahli jawatankuasa Wanita cabang.

Pemilihan parti kali ini juga mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya dilaksanakan menggunakan sistem e-undi (undi secara digital) serta mengguna pakai konsep ‘satu ahli satu undi’ dengan 80,000 anggotanya layak mengundi.

Seramai 800,000 ahli PKR seluruh negara layak mengundi pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung sehingga 28 Oktober depan.

Pada penamaan calon 5 Ogos lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding sebagai presiden apabila tiada calon lain tampil bagi merebut jawatan berkenaan.

Bagi jawatan Timbalan Presiden akan menyaksikan pertembungan antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga penyandang kerusi itu dan Naib Presiden, Rafizi Ramli.

Kerusi Naib Presiden yang memperuntukkan empat kekosongan bakal direbut 12 calon, termasuk empat penyandang jawatan berkenaan dan tiga tempat bagi jawatan sama akan dibuat secara lantikan.

Penyandang jawatan itu ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr A Xavier Jeyakumar; dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Antara muka baharu bagi merebut jawatan berkenaan ialah Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli PKR Cabang Puchong, Michael Tamil; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; Ahli PKR Cabang Padang Serai, Prof Datuk Dr G Balasubramaniam dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.