Remaja Pukul Ibu Ditawar Belajar Di Tahfiz

Muhammad Shukrey Mohammad Nasir,15, yang memukul ibunya menggunakan tangan sehingga videonya tular di laman sosial Selasa lalu ditawarkan belajar di pusat tahfiz.

Ibunya, Umisarah Manaf, 36, berkata, wakil pusat tahfiz yang mempunyai cawangan di seluruh negara hadir ke rumahnya semalam bagi membincangkan perkara itu, lapor Metro.

“Pihak tahfiz mahu kami melawat dahulu sekolah yang akan ditawarkan. Berdasarkan perbincangan, mereka cadangkan untuk Shukrey bersekolah di cawangan mereka di Sabah.

“Saya tidak kisah, malah bersyukur jika dia bersekolah di tahfiz. Ibu mana yang tidak mahu anaknya belajar agama. Bapanya juga mengalu-alukan tawaran itu,” katanya.

Shukrey ketika ditemui berkata, dia bersetuju sekiranya ditawarkan untuk ke sekolah tahfiz dan cuba memperbaiki diri untuk mengawal emosinya selepas kejadian memukul ibunya itu.

“Saya menyesal.. saya sudah malukan mak dan abah. Kalau saya disekolahkan di tahfiz pun, tak mengapa,” katanya.

Menurutnya, dia tetap akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang bermula 2 Oktober ini meskipun emosinya terganggu selepas diejek rakan susulan videonya memukul ibunya tular di laman sosial sejak Selasa.

Selasa lalu, video berdurasi 42 saat itu menerima pelbagai reaksi netizen di laman sosial serta menerima lebih 100,000 tontonan dalam tempoh empat jam selepas ditularkan kira-kira jam 6 petang.

Bapa Shukrey, Mohammad Nasir Budori, 39, membuat laporan polis apabila bimbang keselamatan keluarga selepas netizen memberi kecaman serta ugutan mahu mencederakan Shukrey.

Semalam dilaporkan, Shukrey sudah meminta maaf dan menyesal dengan perbuatannya serta berjanji tidak mahu mengulangi perbuatannya itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.