Alif Satar Kejutkan Anak Kerana Rindu

KUALA LUMPUR: Pelakon, penyanyi dan pengacara, Alif Satar, 27, mengakui pernah merungut apabila jadual kerjanya terlalu padat hingga sukar mencari ruang untuk bersama-sama keluarga.

Alif atau nama penuhnya, Muhammad Alif Mohd Satar bagaimanapun, tidak membiarkan dirinya hanyut dalam emosi kerana semua itu dilakukan untuk mencari rezeki demi keselesaan hidup dan masa depan diri serta keluarga.

“Pernah saya merungut apabila terpaksa berkejar-kejar demi tuntutan kerjaya. Tetapi, setiap kali itu juga saya ingatkan diri, semua ini saya lakukan untuk keselesaan insan tersayang. Bidang seni menjadi sumber pendapatan utama saya untuk menyara keluarga.

“Selagi diberikan Tuhan kudrat dan kekuatan, saya tidak akan penat mencari rezeki. Setiap kali menerima tawaran, saya akan laksanakan dengan penuh kesungguhan kerana saya mahu mencari keberkatan dalam hidup,” katanya.

Alif yang baru meraikan sambutan ulang kelahiran ke-27 pada 19 September lalu berkata, ekoran jadual kerjanya yang terlalu padat, dia hanya sempat meluangkan masa dengan isteri dan dua anak mereka pada setiap pagi.

“Saya sudah berpesan kepada pengurus, apa juga kerja harus dimulakan selepas jam 10 pagi kerana saya mahu terlebih dulu luangkan masa bersama-sama isteri dan anak-anak.

“Ada ketika, apabila terlalu rindukan gelagat anak-anak, saya akan kejutkan mereka yang sedang tidur untuk bermain. Isteri pernah marah kerana saya mengganggu tidur mereka.

“Setiap tahun, saya akan pastikan untuk membawa mereka pergi bercuti dan pada masa itu, saya akan tebus semula masa dengan menggembirakan hati anak-anak,” kata pengacara Clever Girl itu.

Sementara itu, bercakap mengenai kejutan yang dilakukan peminat sempena sambutan hari lahirnya, baru-baru ini, Alif berkata, dia terharu apabila mereka bersungguh-sungguh merancang majlis itu untuk meraikannya.

Lebih terharu, ada antara peminat itu sanggup datang dari Pulau Pinang, Kedah dan Singapura semata-mata untuk bersama-samanya.

“Saya terharu apabila setiap apa yang saya lakukan sentiasa mendapat sokongan penuh peminat. Lihat apa yang mereka lakukan untuk saya ini. Mereka sanggup keluarkan duit poket semata-mata untuk membuat kejutan majlis hari lahir saya.

“Melihat sokongan tidak berbelah-bahagi mereka, setiap kerja yang saya terima akan saya lakukan bersungguh-sungguh. Ada masanya, saya akan mengajak mereka menyertai program atau majlis yang saya sertai.

“Hanya dengan cara itu saya dapat membalas budi baik mereka. Saya juga bersedia meluangkan sedikit masa untuk melayani mereka kerana saya berdiri kukuh atas keikhlasan sokongan peminat,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.