Tidak Perlu Tergesa-Gesa Buat Pilihanraya

KUALA LUMPUR – Tidak perlu tergesa-gesa mengadakan Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hanya kerana ada isu tertentu menyelubungi negara, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

 

 

Beliau berkata mandat yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dan negara berikutan kelembapan ekonomi dunia.

 

 

“Kerajaan yang bertanggungjawab mengutamakan rakyat dan perpaduan kaum, berbeza dengan pembangkang yang lebih pentingkan kuasa politik. Saya harap kerajaan sekarang tidak terikut-ikut rentak mereka.

 

 

“Bila rakyat memberi mandat, sewajarnya proses demokrasi itu dibenarkan berjalan sehingga akhir tempoh, bukan diganggu-gugat,” katanya, lapor Bernama.

 

 

Katanya kerajaan BN juga wajar memberi peluang kepada parti politik baharu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyelesaikan pendaftaran mereka dahulu supaya berpeluang bertanding dalam pilihan raya umum.

 

 

Annuar berkata UMNO tidak bimbang untuk PRU14 diadakan pada bila-bila masa kerana sentiasa siap siaga.

 

 

“Pembangkang sebaliknya tidak akan berhenti mengganggu sehingga jentera kerajaan gagal berfungsi dan rakyat mempersoalkan keupayaan kerajaan mentadbir negara.

 

 

“Oleh kerana kerajaan BN lebih bersifat terbuka untuk dikritik dan ditegur, pembangkang seolah-olah tidak peduli masalah rakyat khususnya ekonomi negara,” katanya.

 

 

Beliau berkata kejatuhan harga minyak dunia memberi kesan ketara terhadap hasil negara namun kerajaan BN sentiasa berusaha mengambil tindakan untuk mengurangkan kesannya terhadap rakyat.

 

 

Dalam pada itu, beliau berkata DAP masih merupakan parti dominan dan tidak akan tunduk kepada kemahuan parti lain termasuk PPBM yang diterajui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.