Potongan Gaji Dedahkan Kewujudan Pelbagai Elaun Pelik Di Arab Saudi

JEDDAH – Keputusan Majlis Menteri-Menteri Isnin lalu untuk mengurangkan gaji dan faedah sampingan menteri-menteri dan ahli-ahli Majlis Syura secara tidak langsung mendedahkan beberapa elaun yang tidak pernah diketahui wujud sebelum ini.

 

Kebanyakan penduduk Arab Saudi tidak tahu terdapat elaun khas dan peruntukan untuk “penampilan”, “tugas-tugas sukar” dan “misi berisiko”.

 

Pemotongan itu membabitkan sejumlah 51 elaun dan faedah sampingan yang dibayar kepada menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

 

“Saya tidak pernah tahu bahawa juruwang di kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan dibayar elaun ‘kejujuran’,” kata seorang warga Arab kepada akhbar harian berbahasa Arab, Al-Hayat.

 

“Saya terkejut apabila mengetahui jurutaip dibayar elaun menaip sedangkan mereka dibayar gaji untuknya,” katanya.

 

Gaji menteri dipotong kira-kira 20 peratus, sekali gus mengurangkan emolumen bulanan dari SR51,750 (RM57,127) kepada SR41,400 (RM45,701).

 

Pendapatan ahli Majlis Syura pula dipotong sebanyak 15 peratus, menjadi SR22,483 (RM24,814) berbanding SR26,450 (RM29,193) sebelumnya.

 

Terdapat 143 menteri-menteri dan pegawai-pegawai yang berpangkat menteri. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.