Balu Mangsa Kemalangan Go Kart Tuntut Keadilan

KUANTAN – Balu kepada mangsa kemalangan go-kart minggu lalu meminta pihak berkuasa menegakkan keadilan bagi pihak keluarganya.

 

Memetik laporan BH, Siti Suhaiza Seman, 38, berkata,  kematian suaminya, Izwan Isa, 39, dan anak perempuannya Nurzulaikha, 5, perlu mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak berkuasa sekali gus dapat menghalang kecuaian daripada pihak penganjur pada masa depan.

 

“Kalau perlu saman, samanlah. Bukan sebab benci tetapi disebabkan kecuaian. Kalau arwah (Izwan) masih hidup pun dia seorang yang tegas.

 

“Bertindaklah dan cari keadilan untuk saya dan mereka (Izwan dan Nurzulaikha),” katanya.

 

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi 25 September lalu, Izwan dan Nurzulaikha terbunuh selepas satu daripada kenderaan yang bersaing pada pertandingan Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace 2016) terbabas dari trek lalu merempuh penonton.

 

Kejohanan itu diadakan di Jalan SUKPA, dekat Indera Mahkota. Siti Suhaiza ditemui pemberita selepas menerima sumbangan khairat kematian daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.