Nekad Tolak Tawaran Jadi Doktor Demi Berbakti Kepada Bapa

KUALA LUMPUR – Ketika orang lain berlumba-lumba mencapai cita-cita, pemuda ini sanggup melupakan hasrat bergelar doktor demi kasih kepada bapanya yang menghidap angin ahmar sejak lima tahun lalu.

Itu pengorbanan Faiq Syukri Saparudin, 28, yang nekad tidak berkhidmat dalam bidang perubatan walaupun memiliki Ijazah Perubatan dari Royal College of Surgeons, di Dublin, Ireland selepas berhempas pulas enam tahun melengkapkan pengajian.

Menceritakan kisah hidupnya yang kini memilih kerjaya perunding kewangan berkata, dia menjaga bapanya Saparudin Arifin, 61, selepas tidak sanggup melihat kesusahan ditanggung ibu, Suraya Adam, 53, dan adik beradik ketika dia menyambung pengajian.

“Sebaik tamat pengajian pada November 2017, saya menerima tawaran berkhidmat di Hospital Batu Pahat Ogos tahun lalu, namun meminta penangguhan enam bulan kerana mahu menjaga ayah sebelum ditawarkan semula berkhidmat di hospital sama Februari ini.

“Saya akhirnya membuat keputusan tidak berkhidmat sebagai doktor dan ini lah masa saya membalas jasa mereka,” katanya.

Menurutnya, walaupun keputusan itu dipandang sinis oleh orang sekeliling, dia bersyukur kerana keluarga menerima dan sentiasa memberi sokongan.

Beliau yang menetap di Johor Bahru berkata, dia terkesan apabila ibu yang tidak bekerja perlu mencari wang bagi menampung rawatan bapa.

“Ibu buat pelbagai kerja seperti menjadi ejen produk kesihatan demi menampung perbelanjaan,” kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Beliau berkata, bapanya yang juga bekas pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pencen lebih awal kerana kesihatan tidak mengizinkan.

Katanya, kerjaya sebagai perunding kewangan kini membolehkan dia membahagikan masa bekerja sambil menjaga bapanya, selain menanggung persekolahan adiknya.

“Tiada istilah kesal dalam hidup saya kerana keluarga tiada galang gantinya. Pekerjaan boleh dicari asalkan kita rajin berusaha.

“Pada masa akan datang mungkin saya membuka klinik sendiri walaupun tidak dapat menjadi doktor, tapi berharap dapat terus menyumbang kepada masyarakat,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.