Warga Asing Termasuk Warga China Boleh Beli Unit Hartanah Di Forest City – Kabinet

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada hari ini telah membincangkan dua isu yang menjadi pertanyaan ramai pihak iaitu Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Forest City di Johor.

Sumber memberitahu Sinchew Daily, ECRL belum dibatalkan dan kerajaan masih berbincang dengan Beijing supaya harga pembinaannya diturunkan.

Menurut sumber itu lagi, kerajaan akan meminta projek mega itu dibatalkan jika harga yang ditetapkan tidak dapat diturunkan seperti yang diminta.

“Pembatalan projek bagaimanapun melibatkan ganti rugi yang sangat besar,” katanya kepada Sinchew Daily.

Mengenai satu lagi isu hangat iaitu kenyataan Dr. Mahathir Mohamad bahawa unit dalam projek Forest City di Johor tidak terbuka kepada warganegara asing, sumber memberitahu, Kabinet memutuskan bahawa warga asing termasuk rakyat China masih boleh melakukan pembelian.

Perdana Menteri dilaporkan telah memberi penjelasan mengenai kenyataannya tentang Forest City yang bukan bermaksud melarang sepenuhnya penjualan kepada warga asing.

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak mahu sebanyak 700,000 warganegara asing hidup dalam sebuah pulau.

“Pendirian kerajaan ialah Forest City boleh dijual kepada warga asing.

“Kerajaan juga boleh mengeluarkan status pemastautin tetap kepada orang asing yang bekerja, belajar atau berada di Malaysia atas faktor yang sahih.

“Namun begitu, kerajaan tidak akan mengeluarkan status ini semata-mata kerana mereka mahu duduk di Malaysia,” kata sumber itu.

Tegasnya lagi, kerajaan tidak mahu melihat orang asing membanjiri dan menetap di satu-satu kawasan.

Sumber itu memberitahu, ramai warganegara China telah membeli hartanah dalam Forest City dan rakyat dari negara itu juga boleh terus membeli. — MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.