Ibu Bangga Azizulhasni Sumbang Pingat Emas Kelima Untuk Malaysia

DUNGUN – “Saya minta dia buat yang terbaik demi negara, Alhamdulillah dia berjaya,” kata Selamiah Yong, 54, ibu kepada Azizulhasni Awang, yang berjaya merangkul pingat emas kelima negara, petang tadi.

Selamiah ketika dihubungi berkata, dia sebak dan menangis ketika menyaksikan ‘pertarungan’ Azizulhasni melalui televisyen.

“Malam tadi, Jijoe (Azizulhasni) ada hubungi saya meminta saya mendoakan pingat emas untuknya dan saya minta dia tidak bimbang kerana saya sentiasa berdoa demi kejayaannya.

“Saya juga meminta sepupu Azizulhasni yang kini berada di Makkah untuk berdoa supaya Jijoe memperoleh emas dalam semua acara ditandinginya,” katanya.

Terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman, Azizulhasni menggapai emas kelima buat negara di Jakarta, menewaskan wakil Jepun, Tomohiro Fukaya di Velodrom Antarabangsa Jakarta, petang tadi.

Dalam kategori itu, Azizulhasni dan Tomohiro perlu memenangi dua daripada tiga pusingan yang ditetapkan.

“Saya sangat bangga apabila Jijoe berjaya meninggalkan pelumba Jepun itu pada kedua-dua pusingan terawal, sekali gus menyumbang emas untuk negara.

“Saya lihat dia (Azizulhasni) sangat letih ketika itu tetapi Alhamdulillah dia berjaya beri hadiah terbaik untuk rakyat Malaysia hari ini,” katanya.

Beliau berharap dan percaya Azizulhasni akan memperolehi pingat emas seterusnya untuk negara dalam acara keirin yang dijadualkan esok.

“Saya yakin dan berdoa Jijoe dapat emas untuk acara yang paling digemarinya itu,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.