Bukan Di Forest Lawn

Seandainya raja pop Michael Jackson masih hidup, dia sudah menyambut ulang tahun kelahiran ke-59, semalam.

Namun, beberapa hari menjelang hari kelahiran penyanyi legenda itu, ibunya, Katherine mendedahkan kubur Jackson di tanah perkuburan Forest Lawn sebenarnya kosong.

Penyanyi Thriller itu dikebumikan di tanah perkuburan terbabit pada 7 Julai 2009 selepas meninggal dunia akibat pengambilan dadah berlebihan.

Portal Radar Online, mendakwa jasad Jackson dibekukan selama beberapa bulan bagi mengelak kuburnya diceroboh pencuri.

Sumber memberitahu keluarga Jackson merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ramai atas dasar keselamatan dan memenuhi permintaan terakhir penyanyi terbabit.

“Semua orang ingat Michael dikebumi di Forest Lawn, namun sebenarnya tidak. Bagaimanapun, Katherine mendedahkan perkara sebenar kepada beberapa rakan yang boleh dipercayai,” katanya.

Lapan tahun lalu, Jackson meninggal dunia akibat serangan jantung dipercayai berpunca daripada pengambilan dadah berlebihan.

Ketika itu, penyanyi berkenaan sibuk dengan persiapan siri konsert This Is It.

Pihak berkuasa Los Angeles kemudian mengklasifikasikan kematian Jackson sebagai bunuh dan doktor peribadinya, Conrad Murray dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun.

Kematian Jackson mengejutkan peminat di seluruh dunia termasuk rakan selebriti. Pengebumian di Pusat Staples Los Angeles, Amerika Syarikat dihadiri jutaan peminat untuk memberi penghormatan terakhir.

Sumber mendakwa selepas beberapa bulan berlalu, Katherine akhirnya mengambil keputusan membakar mayat anaknya.

“Selama beberapa bulan, keluarga Jackson bergaduh mengenai apa yang sepatutnya dilakukan. Katherine menjadi paranoid dan risau mayat anaknya akan dicuri,” katanya.

Ujar sumber itu, keluarga Jackson memilih Forest Lawn kerana ramai selebriti legenda disemadikan di tanah perkuburan terbabit.

“Lokasi sebenar kubur Jackson adalah di bawah sepohon pokok pir cantik yang digelarkan sebagai Giving Tree di ladangnya di California.

“Abu penyanyi itu ditaburkan di Neverland kerana tempat itu sangat istimewa baginya.

“Manakala, Giving Tree adalah tempat kegemarannya di ladang berkenaan. Dia menghabiskan banyak masa di sana untuk berkarya.

“Jadi, keluarganya mahu dia bersemadi di tempat yang dia kenali,” katanya.

Sebelum meninggal dunia, Jackson menjual hartanahnya seluas 2,700 ekar di Santa Barbara pada harga RM95.89 juta.

Tiga anaknya iaitu Paris, Prince dan Blanket masih mempunyai akses ke ladang bapa mereka.

Tahun lalu, Forbes mengumumkan Jackson sebagai selebriti sudah meninggal paling kaya selepas memperoleh pendapatan mencecah RM3.52 bilion sepanjang 2016.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.