Video: Singa Tua Di Zoo Johor, Sakit Kuku

Johor Bahru – Singa tua dan kurus yang dilaporkan menderita disebabkan cengkaman kukunya dan rakaman videonya menjadi viral di media sosial baru-baru, kini beransur pulih.

 

Pengurus Zoo Johor Zakaria Razali berkata singa jantan berusia 18 tahun yang bernama Syarif itu telah dikuarantin ke sebuah kandang khas untuk dirawat.

 

“Syarif semakin pulih setelah dipotong kukunya serta selera dan berat badannya semakin meningkat berbanding minggu sebelum ini,” katanya semasa ditemui pemberita di zoo itu selepas program pengayaan Zoo bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di sini hari ini.

 

 

Zakaria berkata Syarif menghadapi masalah kuku kaki belakang yang mencengkam tapak kakinya sehingga menyebabkan ia tidak dapat mengais dan mencengkam seperti biasa.

 

“Kami berharap setelah mendapat rawatan yang secukupnya, Syarif akan kembali sihat seperti biasa dan boleh dialihkan ke kandang asal dalam tempoh dua hingga tiga minggu,” kata beliau.

 

Beliau berkata Syarif yang merupakan singa tertua antara 13 ekor singa di dalam zoo berkenaan, biasanya aktif pada waktu malam, memakan tiga hingga empat kilogram daging dan ayam setiap hari bagi memenuhi keperluan dietnya.

 

Ditanya tentang isu pemindahan tapak zoo ke Nusajaya, Zakaria berkata perkara itu belum diputuskan lagi dan pihaknya bersedia sekiranya diminta berbuat demikian.

 

“Pihak kami dimaklumkan kawasan yang terletak di Nusajaya berkeluasan 20.2 hektar yang terdiri daripada 16.19 hektar untuk menempatkan haiwan sementara dua hektar lagi bagi tujuan landskap,” kata beliau.

 

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata pihaknya bersedia membantu dari segi kewangan mahupun penyediaan tapak sekiranya pihak zoo ingin memindahkan zoo berkenaan.

 

“Kami sedang menunggu keputusan kerajaan negeri untuk membuat keputusan sama ada dipindahkan atau sebaliknya,” kata beliau.

 

Ismail berkata sebelum sesebuah zoo dipindahkan, banyak aspek yang harus dikaji termasuk ekosistem dan habitat haiwan tersebut bagi memastikan kesesuaian tapak baharu itu. – Bernama

 

 

Baca: Singa Kaki Patah Dan Kurus, Dapat Perhatian Puteri Sultan Johor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.