Video: Peserta Bersih Bergaduh Dengan Wanita Dalam LRT

Kuala Lumpur – Rakaman video seorang wanita yang dipercayai berusia sekitar 40 dan 50 an, yang bersifat agak patriotik diketawakan beberapa peserta himpunan Bersih 4.0 dalam Transit Aliran Ringan (LRT) menjadi viral di laman sosial.

 

Rakaman klip video itu dimuat naik seorang pengguna Facebook, Mahes Billa yang turut mengecam wanita terbabit dalam tulisannya dengan berkata: “Seorang lagi bodoh, tak tahu apa itu Bersih 4.0.”

 

 

Dalam video berdurasi selama dua minit 50 saat itu, wanita terbabit bersoal jawab apabila dikecam peserta Bersih yang mengelilinginya beramai-ramai.

 

Menerusi rakaman video berkenaan, wanita itu berkata, dia sayangkan hak kebebasan bersuaranya tetapi peserta himpunan Bersih mencemuhnya dan mengetawakannya sambil berkata: “Saya rasa mak awak tak mengajar awak secukupnya.”

 

Bagaimanapun, wanita itu masih menjawab secara baik dengan berkata: “Awak tahu apa? Majoriti rakyat Malaysia mahu menyambut Hari Kemerdekaan secara aman.”

 

Peserta Bersih kemudian menyoalnya: “Adakah anda bercakap bagi pihak majoriti?”

 

Situasi mula berubah dan kedengaran jeritan peserta Bersih mencemuh wanita terbabit hingga menyebabkan beliau menjerit: “Kamu diam! Sudahlah menggunakan LRT ini sedangkan majoriti rakyat yang bayar untuk perkhidmatan ini tidak mahu demonstrasi yang menyalahi undang-undang.”

 

Namun, peserta Bersih yang bercakap dengan wanita itu enggan mengalah dan berkata: “Kerajaan mengenakan cukai ke atas kita dan masih ada orang yang tak tahu undang-undang himpunan aman.”

 

Wanita berkenaan kemudian dilihat menjawab:”Bersih perlukan permit yang sah.”

 

LRT kemudian dilihat berhenti dan apabila pintu terbuka, wanita terbabit berkata: “Sudah tak ada tempat kerana penuh dengan spesis Bersih.”

 

Keadaan kemudian dilihat tegang apabila sebahagian besar peserta Bersih yang berada berdekatan dengan wanita itu mula mengambil gambarnya.

 

Tindakan itu mencetuskan berang wanita berkenaan sambil mengugut mengambil tindakan terhadap mereka yang mengambil gambarnya, yang kemudian hanya ditertawakan peserta Bersih.

 

Malah, seorang daripada mereka masih mempersendakannya dengan berkata: “Saya sudah bersedia, mari kita ke mahkamah. Anda mengugut saya dan cakap hal sampah.”

 

Sementara itu, pengguna Facebook, Shalina Shalina berkata: “Jika peserta Bersih ada hak untuk bercakap…dia juga ada hak untuk bercakap…jangan kacau dia.”

 

Klip video tersebut ditonton sebanyak 37,013 kali dan dikongsi sebanyak 1,868 kali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.