Salleh Keruak Sindir Editor Sarawak Report, Hakim Dan Juri

Kuala Lumpur – Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown membuat kenyataan yang menyimpang daripada perkara sebenar mengenai kerajaan memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menggunakan dakwaan yang direka.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata dalam blog miliknya hari ini bahawa Clare tidak menyebut yang Anwar enggan memberi keterangan selain tidak membawakan saksinya ke mahkamah untuk menyokong keterangannya.

 

Dia membangkitkan mengenai Anwar yang langsung tidak memberikan keterangan dan kerana itu beliau disabitkan kesalahan, bukan seperti alasan yang dihebahkan Clare.

 

Salleh dalam blognya turut menyindir Clare dengan berkata editor kelahiran Sarawak itu bercakap seolah-olah dia tahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah disabitkan kesalahan atau didakwa atas sebarang kesalahan jenayah.

 

“Sebagai wartawan veteran, dia sepatutnya tahu bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dan melainkan jika dibuktikan bersalah, tetapi dia bagaimanapun, bercakap seperti bukti sudah muktamad dan dia tahu, pada hakikatnya Perdana Menteri adalah bersalah, hanya kerana dia berkata demikian.

 

“Clare kan hakim, juri dan orang yang menjatuhkan kesalahan, semuanya dalam satu,” kata Salleh dalam laman blognya.

 

Dia berkata, malam tadi, siaran berita Sky TV di United Kingdom (UK) melaporkan Clare bercakap mengenai `perjuangannya’ untuk Malaysia.

 

Beliau berkata, wanita itu mendedahkan panjang lebar bagaimana dia mendedahkan bukti rasuah membabitkan Najib, bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana dia mendapatkan bahan yang dipanggil sebagai bukti itu.

 

“Malah, didakwa sebahagian daripada bukti sudah diusik atau diubah. `Bukti’ ini tidak boleh jatuh dari langit, jadi, bagaimana dia mendapatkannya?

 

“Adakah seseorang memberikan kepadanya apa-apa bukti yang didakwa diperolehnya kerana dia sebenarnya digunakan dan diberitahu supaya memalukan Najib,” kata Salleh.

 

Dalam blognya, Salleh turut mendesak Clare untuk mendedahkan kebenaran dan dengan siapa dia berkhidmat kini, berapa banyak Sarawak Report dibayar kerana dia mengaku ada menerima dana asing tanpa cukup telus mengenai perinciannya.

 

Salleh meneruskan lagi, Clare berkata, pembangkang memenangi lebih 50 peratus undi dan mencadangkan bahawa sepatutnya pembangkang yang memimpin kerajaan.

 

Beliau berkata, dia terkejut mendapati bahawa Clare tidak sedar bahawa dalam sistem parlimen kerajaan demokratik dimodel selepas kerajaan British, parti yang menang dengan jumlah kerusi tertinggi akan dapat membentuk kerajaan dan bukan parti yang menang dengan jumlah undi tertinggi.

 

Malah, dia turut menjadikan apa yang berlaku di UK dalam dua pilihan raya sebelum ini sebagai contoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.