Video: Kejatuhan Saham FGV Hanya Bersifat Sementara – PM

Kuala Nerus – Peneroka felda tidak perlu gusar dengan kejatuhan harga saham Felda Global Ventures (FGV).

 

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kejatuhan harga saham itu hanya bersifat sementara berikutan pengaruh luaran termasuk keadaan ekonomi dunia.

 

Katanya lagi, peneroka tidak perlu menjual saham terbabit tetapi menyimpan untuk jangka panjang sambil menyifatkan kejatuhan saham itu disebabkan suasana ekonomi yang suram di seluruh dunia.

 

 

Menurut Perdana Menteri disebabkan itu juga harga sawit susut dan saham FGV jatuh sambil memberi jaminan FELDA mempunyai rizab secukupnya untuk mengurus syarikat terbabit dan meneruskan program untuk kesejahteraan peneroka.

 

Najib turut mengumumkan lebih banyak projek perumahan generasi kedua peneroka di tanah rancangan Felda pada masa depan akan ditawarkan dalam lingkungan harga RM60,000 hingga RM70,000 sahaja bagi memberikan lebih kelegaan kepada mereka.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bagi meringankan lagi bebanan dalam kalangan sebahagian daripada mereka untuk menyewa atau memiliki kediaman dan pastinya akan dapat menggembirakan semua.

 

 

“Sebelum ini, kita umumkan harga rumah yang ditawarkan, diturunkan daripada RM120,000 kepada RM90,000. Pada masa akan datang, kita akan membina lebih banyak dalam lingkungan RM60,000 dan RM70,000,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2015 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini hari ini yang dihadiri hampir 20,000 peneroka dari seluruh negara.

 

Beliau berkata, penurunan harga itu boleh ditawarkan dengan mengurangkan sedikit spesifikasi seperti keluasan dan kemasan kerana apa yang lebih utama adalah kediaman untuk berlindung.

 

Katanya, pelaksanaan projek itu akan dapat dipermudah dan dipercepatkan sekiranya kerajaan-kerajaan negeri sedia menawarkan tanah di samping menyediakan prasarana di kawasan sekitar.

 

Menurut beliau, lebih banyak langkah bagi mencorak masa depan yang lebih baik kepada masyarakat peneroka di 312 tanah rancangan seluruh negara sejajar dengan kemampuan kerajaan akan diumumkan kelak bagi menghargai mereka yang sekian lama bersama membangunkan Felda sehingga berkembang ke peringkat dunia.

 

Dalam majlis itu juga Perdana Menteri mengumumkan kejayaan Program Dana Khas.

 

Pelajar Cemerlang Felda melalui pencapaian 11 anak, cucu dan kakitangan Felda yang berjaya mendapat tempat di beberapa universiti terkemuka di luar negara.

 

“Malah, tiga daripada mereka berpeluang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Royal College of Surgeon, Ireland,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.