Video: Perdana Menteri Ikrar Tidak Akan Biarkan Malaysia Jatuh

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini berikrar beliau dan barisan pentadbirannya tidak akan membiarkan Malaysia jatuh, malah akan terus membangunkan tanah air supaya kekal makmur di persada dunia.

 

Perdana Menteri berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan yang lain akan meneruskan usaha itu walau apa pun cabaran yang mendatang serta dugaan yang melanda.

 

 

Ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam ini, Najib melahirkan rasa kesal atas tindakan segelintir pihak yang yang sanggup dan tergamak mencetuskan bibit-bibit persengketaan serta api permusuhan menjelang ulang tahun kemerdekaan negara.

 

“Sesungguhnya, kami tidak akan membenarkan sesiapa sahaja sama ada dari dalam atau luar (negara), untuk dengan mudahnya datang dan mencuri, merosakkan atau memusnahkan apa yang telah kami bina selama ini.

 

“Beringatlah semua, jika kita tidak bersatu, hilang solidariti dan hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan, bahkan segala yang kita bina secara susah payah selama ini akan hancur begitu sahaja,” katanya.

 

Ini merupakan kali kedua Najib menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan secara langsung di hadapan khalayak ramai tanpa rakaman terlebih dahulu seperti amalan biasa. Ia disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen malam ini.

 

Majlis itu dikelolakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

 

Perdana menteri turut mengajak para hadirin merenung dan menghayati sedalam-dalamnya erti kemerdekaan, serta jasa bakti para parajurit dan anggota keselamatan yang telah berkorban bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa.

 

“Kerana itulah kita menolak sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan hanya menyusahkan rakyat, kerana ia tidak langsung mencerminkan kematangan, bahkan ia bukanlah sebagai saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan dalam sebuah negara demokrasi,” kata Najib.

 

Menurutnya apa yang berlaku sehari dua ini amat tidak wajar, serta mempamerkan kecetekan minda dan miskin semangat kebangsaan, kata Najib yang jelas merujuk kepada perhimpunan Bersih 4 di ibu negara, Kota Kinabalu dan Kuching.

 

Ke arah itu, beliau terus mengajak rakyat Malaysia memberi penghargaan dan penghormatan kepada susah payah anggota keselamatan dalam memastikan kerukunan dapat terus dikecapi pada setiap masa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.