Penyingkiran Da’i Hilman Mendapat Perhatian

Kuala Lumpur – Jauh di sudut hatinya, terselit sedikit rasa sedih dan seperti tidak percaya apabila dia menjadi peserta pertama yang tersingkir menerusi program dakwah terbitan TV3, Da’i Pendakwah Milenia musim ketiga, minggu lalu.

 

Namun, sebagai seorang hamba Allah SWT, Da’i Hilman atau Hilman sentiasa percaya apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya dan dia menerimanya dengan hati yang terbuka.

 

Lebih mengharukan anak jati Melaka itu apabila ada sesetengah penonton dan pengikut tegar program tersebut tekad mahu menghantar memorandum kepada Media Prima Berhad sebagai protes kepada penyingkirannya itu.

 

“Apabila ada yang memberitahu saya akan perihal itu, saya hanya mampu ketawa dan tersenyum sahaja kerana tidak menyangka akan ada yang sanggup bertindak ke tahap itu.

 

“Saya hanya mengatakan bahawa tidak perlu berbuat demikian kerana saya sendiri menerima penyingkiran saya dengan penuh terbuka dan percaya bahawa rezeki masing-masing sudah ditetapkan olehNya.

 

“Justeru, apa yang saya mahu lakukan sekarang adalah untuk terus berdakwah dan mahu mendekati golongan muda pula sementelah mereka yang mengenali saya sebelum ini adalah daripada mereka yang berusia,” kata Hilman sewaktu dihubungi The Rakyat Post, di sini hari ini.

 

Dalam episod kedua yang bersiaran minggu lalu, nasib tidak menyebelahi Hilman atau nama sebenarnya, Muhammad Hilman Fabli apabila hanya mendapat markah sebanyak 63.6 peratus.

 

Namun, dia tidak menafikan penyingkirannya pada minggu lalu ada kaitannya dengan penglibatan orang muda yang barangkali tidak begitu mengenalinya berbanding golongan senior.

 

“Sebelum menyertai program ini, saya merupakan seorang pendakwah dan golongan sasaran saya lebih kepada mereka yang berusia kerana saya sendiri berdakwah di surau dan masjid.

 

“Lalu, apabila Da’i memperkenalkan sistem undian di media sosial, kebarangkalian untuk saya mendapat undian daripada anak muda mungkin sedikit dan ia tidak menepati kepada golongan sasaran saya sebelum ini.

 

“Pun begitu, saya bersyukur kerana setidak-tidaknya penglibatan saya dalam Da’i musim ini telah memberikan satu pembaharuan dalam diri saya apabila ramai yang kini mula mengenali saya dan azam saya adalah untuk meneruskan pendakwahan,” kata graduan Diploma Tahfiz Quran Wal Qiraat, Kolej Universiti Insaniah, Kedah itu dalam nada optimis.

 

Ketika ditanya kepada Hilman yang berusia 23 tahun itu tentang kelemahan dirinya sewaktu menyampaikan tazkirah berjudul Sayap Kiri Khalifah pada malam tersebut, dia sukar untuk memberikan jawapannya.

 

“Saya yakin sudah membuat persediaan yang sewajarnya sepanjang minggu sebelum siaran langsung tersebut. Saya sendiri mencuba sehabis baik untuk menjadikan tazkirah saya itu seringan yang boleh agar ia dapat dihadam dengan mudah oleh penonton.

 

“Malah, ada yang memberikan komen dengan mengatakan cara persembahan saya sewaktu latihan dan siaran langsung juga sangat berbeza.

 

“Akan tetapi, seperti mana yang saya katakan, saya sudah mencuba yang terbaik tetapi rezeki tidak berpihak kepada saya,” katanya dalam nada tenang.

 

Dengan penyingkiran Hilman, kini tinggal empat peserta lelaki sahaja dalam kumpulan Ar-Rijaal yang akan meneruskan perjuangan mereka iaitu Da’i Luqman, Da’i Fuad, Da’i Hijrah dan Da’i Ariffin minggu hadapan.

 

Sementara itu, dalam episod ketiga yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam ini, akan menyaksikan pula lima peserta wanita dalam kumpulan An-Nisaa membuat persembahan.

 

Siapakah yang bakal tersingkir malam ini? Pastikan anda tidak ketinggalan menonton Da’i Pendawah Milenia yang akan disiarkan bermula 9 malam ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.