Kereta Peserta Bersih 4 Terbakar

Kuala Lumpur – Sebuah kereta jenis Kia Forte milik seorang peserta himpunan Bersih 4 terbakar, awal pagi tadi.

 

Pemiliknya, Kelvin Thong berkata, hasil siasatan forensik polis mengesahkan, keretanya telah dibakar dan beliau percaya ia akibat perbuatan khianat.

 

“Saya dimaklumkan polis forensik, siasatan awal mendapati kereta saya dibakar.

 

“Dibakar oleh individu atau pihak yang tidak pasti sama ada mempunyai kaitan dengan himpunan Bersih 4 atau unsur-unsur lain, sama ada sengaja atau tidak sengaja,” katanya.

 

Menurutnya, beliau meletakkan keretanya di tepi jalan, bersebelahan Bank Negara Malaysia, di Jalan Sultan Salahuddin pada jam 2.30 pagi tadi, untuk menyertai himpunan Bersih di Dataran Merdeka.

 

“Apabila saya bersedia untuk mengambil kereta saya dengan rakan untuk balik ke rumah pada pukul 7 pagi tadi, saya ternampak bahagian depan enjin kereta saya dibakar, tetapi bahagian belakang kereta masih elok dan sempurna,” katanya seperti yang ditulis dalam laporan polis dibuatnya.

 

Beliau menganggarkan kerugian kira-kira RM70,000 dan mengecam pihak yang membakar keretanya, kerana beliau tidak boleh menuntut pampasan daripada syarikat insurans.

 

“Saya bertanya kepada orang ramai berdekatan tempat kejadian dan diberitahu anggota bomba dari Balai Bomba Hang Tuah dikerahkan untuk memadam api sekitar jam 5 atau 6 pagi tadi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.