DBKL Mahu Tuntut Ganti Rugi Dengan Penganjur Bersih 4.0

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuat tuntutan ganti rugi terhadap penganjur perhimpunan haram, Bersih 4.0, minggu depan.

 

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, kini DBKL masih dalam proses mengenal pasti kesan-kesan kerosakan, disebabkan aktiviti itu, sehingga ianya berakhir tengah malam ini.

 

Menurutnya, tuntutan itu akan dikemukakan kepada penganjur selepas semua kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan terhadap kerosakan harta benda awam dibuat sebaik sahaja himpunan ini tamat.

 

“Kita perlu mengumpulkan bukti-bukti sebelum membuat tuntutan terhadap kos kerugian kepada Maria Chin Abdullah (penganjur). Terdapat kawasan yang terkesan terutamanya dalam aspek penyelenggaraan sampah dan kerosakan pada pokok-pokok tanaman DBKL.

 

“Perkara ini telah dijelaskan semasa perjumpaan bersama penganjur sebelum ini, bahawa DBKL akan menuntut kerugian di atas sebarang harta benda yang terjejas disebabkan aktiviti berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Mhd Amin menambah, tuntutan juga dibuat kerana DBKL menggunakan khidmat Alam Flora untuk kerja-kerja membersihkan pusat bandar.

 

“Sekiranya kerja-kerja pembersihan itu dilakukan berpunca daripada himpunan haram ini, itu yang kita akan buat tuntutan kepada penganjur.

 

“Kita tidak mahu DBKL menanggung kos tersebut,” katanya.

 

Dalam pada itu, mengulas sama ada DBKL mengambil tindakan terhadap peserta yang mendirikan khemah, beliau berkata, tiada sebarang penguatkuasaan dibuat setakat ini.

 

Ujarnya, DBKL bersama pihak polis mengambil pendekatan mengelakkan sebarang tindakan fizikal bagi mengelakkan berlaku provokasi.

 

“Selagi mereka tidak masuk ke kawasan-kawasan larangan, kita tidak akan ambil tindakan dan setakat ini semuanya terkawal,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.