AFF: Harapan Malaysia Ke Separuh Akhir Samar

Kuala Lumpur – Harapan skuad Harimau Muda C untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak AFF Bawah 19 Tahun agak samar selepas tewas 1-0 kepada Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Laos, Vientiane, Laos pada Sabtu.

 

Keputusan itu sedikit sebanyak menjejaskan peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir kejohanan tahunan berkenaan selepas mereka kini terikat tujuh mata bersama Vietnam dan Myanmar.

 

Dua pasukan berkenaan akan bertemu sesama sendiri pada aksi terakhir Isnin ini di gelanggang sama untuk menentukan juara Kumpulan B. Jaringan tunggal Kyaw Ko Ko pada minit ke-50 memusnahkan harapan skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras untuk meraih kemenangan ketiga.

 

Mereka sebelum ini menundukkan Timor Leste 2-1 pada aksi pembukaan Ahad lepas sebelum membenam Singapura 4-0 pada perlawanan kedua kumpulan, selang dua hari kemudian.

 

Skuad negara seri tanpa jaringan menentang Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan B, Khamis lalu.

 

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan yang diperkenalkan pada 2002 itu adalah muncul naib juara pada 2005, 2006 dan 2007. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.