Ada Pihak Cuba Racun Peserta Bersih 4 – Maria Chin

Kuala Lumpur – Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk pihak yang mengedarkan air kotak tercemar kepada peserta Bersih 4 dan menyifatkan ia sebagai tindakan sabotaj serta cubaan meracuni peserta himpunan itu.

 

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah kecewa dengan perbuatan itu, kerana pihak terbabit menggunakan nama “sokongan untuk Bersih” untuk membahayakan kesihatan orang ramai.

 

“Minuman ini menyebabkan peserta Bersih 4 sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, semua peserta yang terjejas telah diberikan rawatan dan dibawa ke hospital.

 

Tambahnya, laporan polis telah dibuat dan berharap polis dapat menyiasat secepat mungkin, bagi mengesan dalang di sebalik perbuatan itu.

 

“Kita menasihatkan semua peserta supaya tidak menerima sebarang minuman percuma yang diedarkan orang tidak diberi kuasa oleh Jawatankuasa Penganjur Bersih 4,” kata.

 

Beliau turut menasihatkan peserta Bersih 4 melaporkan kepada unit keselamatan, jika mendapati ada air kotak mempunyai kesan lubang tusukan.

 

Seramai 13 peserta Bersih 4 mengalami keracunan makanan, pada himpunan itu semalam.

 

Enam daripadanya, termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun telah dibawa ke hospital.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.