Suntikan 6 Billion Khazanah Kepada MAS Adalah Pelaburan – PM

Kuala Lumpur – Suntikan modal RM6 bilion yang diberikan Khazanah Nasional kepada Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) bukanlah untuk menyelamatkan syarikat penerbangan negara itu semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan, suntikan itu lebih berbentuk pelaburan dimana ia perlu dijana semula.

Menurut Najib, MAS mungkin memerlukan lebih daripada tiga tahun bagi pelan pemulihannya, namun akan ada pertumbuhan positif dalam tempoh berkenaan.

“Dalam isu ini, wang yang disuntik kepada MAS adalah untuk menjadikan ia terus maju dan berterusan. Kami juga telah membuat keputusan RM6 bilion itu mesti diperolehi semula.

“Itu penting. Jadi ia bukan jaminan (bailout). Jaminan (bailout) bermakna ia tidak boleh dipulangkan semula.

“Dalam erti kata lain, Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) perlu mendapatkan semula setiap sen daripada RM6 bilion itu atau lebih,” kata Najib.

Najib mengulas Pelan Pemulihan MAS yang diumumkan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar pada Jumaat.

Perdana Menteri sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara.

Pada masa sama, Najib memberi jaminan bahawa pelan untuk penstrukturan semula syarikat itu juga akan dilakukan dengan cara berhemah dan penuh berperikemanusiaan.

Selain itu, beliau juga yakin Khazanah Nasional mampu mengendalikan penstrukturan semula MAS itu berdasarkan pengalaman mereka yang berjaya memulihkan semula kumpulan UEM. 

Mengulas pelantikan calon Ketua Pegawai Eksekutif MAS yang baharu, Najib berkata, ia tidak menjadi isu sekiranya warga asing yang bakal mengendalikan syarikat itu buat sementara waktu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.