Rafizi Hina ADUN PKR : Siapa Dia Mahu Mengarah Saya? – ADUN Sri Muda

Petaling Jaya – Kenyataan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dilihat menghina ADUN  dari PKR Selangor  dan tidak mencerminkan seorang naib presiden kerana mencabar ahli-ahli Adun di media.

Menurut ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, tidak perlu untuk beliau dan rakan-rakan ADUN diarah tarik diri kerana mereka bukanlah orang yang dicalonkan sebagai MB. Cabaran Rafizi dilihat menghina mereka, seolah-olah mereka tidak ada pendirian.

“Saya sangat terkejut dengan saranan Rafizi hari ini. Disebabkan beliau mencadangkan melalui media, maka saya menjawap melalui media juga.”

“Siapa Rafizi yang hendak menyuruh saya membuat itu dan ini? Jika beliau mempunyai cadangan yang difikirkan baik, bawalah ke dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat untuk kita bincangkan dan membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, kenyataan Rafizi sebulan dua ini banyak merosakkan hubungan dalam Pakatan Rakyat dan kini dia melebarkan lagi retak yang sedia ada dalam PKR. Cara beliau memberikan gambaran bahawa hanya pendapat beliau seorang sahaja yang betul dan beliau sahaja yang layak memberikan pendapat.

“Saya fikir telah tiba masanya untuk Presiden parti dan Ketua Umum menegur cara melampau Rafizi. Tindakannya telah banyak memberi persepsi yang tidak baik pada PR. Pandangan rakyat melihat beliau seolah-olah memaksa pendapatnya untuk diikuti oleh semua orang. Ini sangatlah dikesali,” ujarnya.

Dalam masa yang sama Shuhaimi turut memberi amaran kepada Rafizi agar menghentikan segera sikap tergopoh-gapah beliau.

“Ia bakal menyerlahkan sikap sebenar seorang anak muda yang gelojoh dan mempunyai agenda peribadi dalam perlantikan Menteri Besar yang baru ini.

“Ia jelas mempamerkan sikap seorang yang angkuh dan bongkak. Saya ingin berpesan, hentikan tindak tanduk beliau ini. ‘Wayang Langkah Kajang’ sudah melabuhkan tirainya.”

“Tan Sri Khalid Ibrahim sudah berhenti. Berilah ruang kepada pihak istana melakukan tugas terakhir mengikut undang undang tubuh negeri dengan teratur,” tegasnya.

Selain itu ADUN Seri Muda itu turut memuji tindakan YB Nik Nazmi mengeluarkan kenyataan.

Menurutnya, ia wajar dipuji kerana beliau juga dicadangkan namanya sebagai calon oleh Pemuda PAS. Walaupun beliau tidak perlu berikan jawapan balas begitu kerana ia hanya cadangan rakan sejawatnya, namun Shafiei menghormati pendiriannya.

“Hakikat sebenar semua ADUN sudah menandatangani SD menyatakan sokongan kepada YB Dato Seri Wan Azizah Ismail adalah bukti sokongan padu saya /kami untuk akur kepada keputusan parti.

“Azmin Ali yang turut dicalonkan juga sudah secara terbuka mengatakan beliau mengikut keputusan parti dan beliau juga telah tandatangan SD menyokong Dato Seri Wan Azizah Ismail. Justeru itu tidak ada kewajaran cabaran Rafizi dan beliau tidak perlu mempertikaikan kesetiaan saya / kami kepada parti,” ujarnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.