Kumpulan Militan Syria Tahan 43 Tentera PBB

Syria  – Kumpulan militan yang memerangi tentera Syria menahan seramai 43 anggota tentera pengaman PBB di Bukit Golan yang dikuasai Israel dan mengepung 81 lagi di kawasan berkenaan, menurut badan dunia itu kelmarin.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, semua askar pengaman yang terjejas itu berasal dari Filipina dan Fiji.

“Ketika pertempuran antara kumpulan militan dan tentera Syria di Bukit Golan semakin sengit sejak Selasa lalu, seramai 43 askar Pasukan Pemerhati Pengunduran PBB (UNDOF) ditahan awal pagi ini (kelmarin) oleh sebuah kumpulan bersenjata di kawasan Al-Qunaytirah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sejumlah 81 askar pengaman UNDOF yang lain kini dikepung di kedudukan mereka di sekitar Ar Ruwayhinah dan Burayqah.

“Sebanyak 81 askar terkepung itu berasal dari Filipina manakala 43 yang ditawan terdiri daripada anggota tentera Fiji,” tambah Dujarric.

Menurut kenyataan sama, PBB kini melakukan semua usaha untuk membebaskan mereka yang ditawan selain memastikan anggota tentera UNDOF bebas bergerak untuk melaksanakan tugas.

Kawasan yang dikawal askar UNDOF itu melibatkan lintasan Al-Qunaytirah di Bukit Golan. Lokasi berkenaan dan bukit tersebut ditawan Israel semasa perang Asia Barat pada tahun 1967.

Secara teknikal, Syria dan Israel masih lagi berperang sehingga sekarang.

Tentera Syria tidak dibenarkan memasuki kawasan penampan di Bukit Golan di bawah satu gencatan senjata yang dipersetujui pada tahun 1973.

Zon penampan itu sepanjang 70 kilometer bermula dari Gunung Hermon di sempadan Lebanon dan berakhir di Sungai Yarmouk, sempadan Jordan.

Terdapat seramai 1,223 anggota pengaman UNDOF dari enam negara bertugas di Bukit Golan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.