Golongan Nasionalis Radikal Juga Beri Sumbangan – Tun Dr. Ismail

Kuala Lumpur  –  “Bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan”– Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Kata-kata diatas diungkapkan oleh Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia pada 1973. Apa yang boleh difahamkan daripada kata-kata Dr Ismail itu ialah dalam memperkatakan tentang perjuangan kemerdekaan, kita tidak boleh melupakan peranan yang dimainkan oleh golongan radikal atau gerakan kiri.

Esok, 31 Ogos, genap 57 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Saban tahun, apabila menyambut ulangtahun kemerdekaan, cerita yang sama akan cuba diingatkan, perihal perjuangan sebilangan tokoh-tokoh dan gerakan-gerakan tertentu dalam membebaskan negara ini dari penjajah.

Nama tokoh-tokoh dari gerakan kiri seperti cuba disorokkan seolah-olah mereka ini tidak memberi apa-apa sumbangan kepada kemerdekaan negara. Prof Datuk Dr Ramlah Adam dalam satu tulisan beliau bertajuk ‘Tokoh Yang Dilupai’, yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 29 Ogos 1998, menekankan betapa pentingnya sejarah kemerdekaan negara ditulis dengan fakta sejarah yang betul.

“Kita mungkin tidak perlu menulis sebuah sejarah kebangsaan negara yang berat sebelah, namun penulisan sejarah kebangsaan atau kemerdekaan yang dipertanggungjawabkan dengan fakta sejarah yang betul dan analisis yang objektif, cukup untuk memberi satu arah, panduan dan interpretasi yang dapat membina generasi muda dengan lebih yakin dan mempunyai jatidiri dan ketahanan patriotisme yang mampu mengatasi dan menyokong kepentingan negara dalam sebarang bentuk kegawatan serantau atau dunia,” tulis Dr Ramlah.

Seterusnya Dr Ramlah berkata adalah tidak adil apabila dalam penulisan sejarah menuntut kemerdekaan, penonjolan hanya ditumpukan kepada tokoh-tokoh dan parti-parti yang bersifat kanan atau establishment.

“Ini tentulah tidak adil apabila tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Mohammed dan ramai lagi, yang telah merengkok dalam penjara bagi tempoh yang lama, demi menuntut kemerdekaan negara dari penjajah, dibiarkan hilang ditelan masa.

“Mereka terpaksa hidup bersusah payah, membuang tenaga dan wang ringgit demi untuk perjuangan itu.

“Walaupun mereka bersifat radikal dan pembangkang, namun dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, perjuangan seperti ini sangat bermakna dalam memberi satu perjuangan yang kental dan tidak bersifat ‘pak turut’.

“Tentangan mereka menjadicheck and balancekepada golongan yang bekerjasama dengan British untuk membuat desakan-desakan yang lebih menguntungkan kemerdekaan negara,” tulis beliau lagi.

Dalam tulisannya itu, Dr Ramlah menjelaskan, ada antara tokoh-tokoh establishment yang ditonjolkan kadang kala bukanlah pejuang-pejuang yang telah benar-benar terlibat dalam gerakan menuntut kemerdekaan negara. Lebih malang lagi apabila tokoh yang ditonjolkan sebagai pejuang kemerdekaan itu kata Dr Ramlah hanyalah menjadi pengikut pada masa perjuangan menuntut kemerdekaan.

Kata beliau, dalam menuntut kemerdekaan, ada antara tokoh-tokoh establishment ini tidak menyumbangkan tenaga dengan jelas kerana menuntut di luar negara atau bekerja dengan kerajaan kolonial.

“Lebih hebat lagi apabila ada tokoh yang menjadi penentang kepada kegiatan ataupun parti yang bergerak menuntut kemerdekaan, tetapi kini mengaku sebagai penyokong parti utama. Mungkin seperti kata pepatah Melayu, ‘tiada rotan, akarpun berguna’ itu sesuai dalam kita mencari hero bagi generasi hari ini. Bagaimanapun, fakta sejarah tidak harus diputar-belitkan,” tulis Dr Ramlah lagi.

Apa yang diperkatakan oleh Dr Ramlah membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan pejuang kemerdekaan dari gerakan kiri, seperti Ibrahim Yaacob, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Mustapha Hussein, Ishak Hj Mohammed (Pak Sako) dan beberapa tokoh lagi amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu.

Mereka memilih berjuang menuntut kemerdekaan secara radikal, tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah yang dikenali sebagai golongan moderate.

Mengulas mengenai Gerakan Kiri, Dr Mohammed Salleh Lamry menerusi bukunya “Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan”, yang diterbitkan oleh Penerbit UKM menjelaskan dikalangan orang Melayu, gerakan kiri banyak dipengaruhi oleh perkembangan politik dan gerakan nasionalisme di Indonesia.

Ada antara pejuang kemerdekaan dari gerakan kiri ini memilih untuk mengangkat senjata dan bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk membebaskan negara ini dari penjajah. Mereka antaranya, Musa Ahmad, Wahi Anuar, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Zainab Mahmud, Abdullah C D., Rashid Maidin, Ibrahim Chik, Abu Samah, Mohamad Kassim dan lain-lain lagi.

Lebih malang lagi, apabila bercakap tentang perjuangan menuntut kemerdekaan, bukan hanya peranan tokoh gerakan kiri seperti disepikan tetapi, tokoh-tokoh yang memilih untuk berjuang bersama PKM ini menerima bermacam-macam tuduhan. Yang sering katakan bahawa mereka ini sudah tidak lagi Islam, tidak lagi percaya kepada agama.

Dr Mohamed Salleh dalam bukunya itu menjelaskan anggota PKM berbangsa Melayu ketika itu tidak pernah meninggalkan Islam, jauh sekali dari mengatakan mereka tidak lagi beragama Islam.

“Satu perkara yang perlu diingati ialah pemimpin gerakan nasionalisme kiri Melayu yang merupakan kader dan pemimpin PKM ini tidak pernah meninggalkan Islam, jauh sekali dari mengatakan bahawa mereka tidak lagi beragama Islam,” tulis Dr Mohamed Salleh.

Pejuangan bersenjata seperti yang dilakukan oleh tokoh-tokoh ini bukanlah baru kerana sebelum itu, sudah ada pejuang Melayu yang menentang British dengan menggunakan senjata. Perjuangan ini dimulakan oleh para pembesar tradisional, seperti Datuk Bahaman di Pahang, Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela di Perak dan Tok Janggut di Kelantan, dengan sokongan kaum tani, ketika Inggeris mula-mula campur tangan dalam politik dan pentadbiran negeri Melayu pada akhir abad ke-19 dahulu.

Apa yang dilakukan oleh tokoh-tokoh ini, sama ada bersenjata atau tidak, hanyalah untuk membebaskan negara yang tercinta ini dari dikuasai oleh penjajah. Mereka ini biarpun dari gerakan kiri memberi sumbangan besar dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara.

Jadi, setelah mencapai 57 tahun merdeka, tidak salah jika perjuangan gerakan kiri ini dalam menuntut kemerdekaan turut sama diiktiraf. Tokoh-tokoh dari gerakan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkata Pemuda Insaf (API), Angkata wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Malaya (BATAS) , Pembela Tanah Air Malaya (PETA) dan gerakan lain perlu juga diangkat sebagai pejuang kemerdekaan, bukan hanya tokoh-tokoh dari gerakan moderate semata-mata.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.