Akibat Desakan Golongan Muda, Pas Pusat Buat Haluan Sendiri

Shah Alam – Tekanan dari golongan muda PAS yang merasakan mereka terpaksa menurut agenda rakan parti PKR dan DAP menyebabkan kepimpinan pusat parti Islam itu mengorak haluan sendiri dalam krisis menteri besar (MB) Selangor, kata  Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Ahli jawatankuasa PAS pusat itu berkata itulah sebabnya PAS berdegil dalam krisis MB Selangor dan bercanggah pendapat dengan PKR dan DAP dengan tidak menyokong sepenuhnya pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB baru.

“Kita perlu faham mengapa PAS berkelakuan sedemikian. Saya rasa masalah utamanya ialah golongan muda PAS… pemimpin lebih muda, mereka merasakan seperti perlu turut sahaja dengan agenda PKR dan DAP,” kata Khalid.

“Mereka merasakan seolah-olah identiti PAS dan ahli partinya semakin kabur, solah-olah kita mengikut sahaja rancangan (Ketua Umum PKR Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan kumpulan beliau.

“PAS ingin menunjukkan ahlinya yang ia ada pendirian sendiri dan ia masih bebas,” kata Khalid tentang penentangan partinya terhadap rakan parti Pakatan Rakyat (PR) dalam isu MB yang berkemungkinan memecahbelahkan pakatan berusia enam tahun itu.

Penganalisis politik berkata tampak ada antara ahli PAS merasakan PR perlu mengikut rentak parti Islam tersebut, seperti yang berlaku di Kedah sebelum Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) dan semasa isu hudud timbul.

PAS Kedah menghadapi pergaduhan dan pergolakan dalaman di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan PAS kekal dengan MB satu penggal itu apabila bertanding untuk PRU13 dan hilang kuasa atas negeri itu kepada Barisan Nasional (BN).

Parti itu bertegas mahu menguatkuasakan kanun jenayah Islam hudud, meskipun rakan PKR dan DAP membantah dengan mengatakan jika isu itu terus digembargemburkan, mereka aan kehilangan undi pada masa depan.

Khalid  berkata, ada ahli secara terbuka meminta pemimpin PAS mengkaji semula kerjasama dengan PKR dan DAP, mengatakan parti Islam tersebut sudah banyak berkompromi.

“Berdasarkan sentimen ini, ada antara pemimpinnya yang ingin menunjukkan identiti yang berbeza daripada PKR dan DAP, jadi kita dapat katakan kita bukannya hanya bertindak mengikut arahan PKR dan DAP.” tambahnya.

“Sebagai parti yang kukuh kedudukannya, PAS tidak mahu dilihat sebagai orang bawahan PKR.”

Bagaimanapun, Khalid berkata ini merupakan agenda Umno dan BN bagi mewujudkan perselisihan antara parti dalam PR.

“Jadi malang sekali, inilah yang tidak difahami ahli serta pemimpin kita sendiri… sebenarnya kita tidak melakukan apa-apa yang tidak kita persetujui. Jika terdapat perbezaan pendapat, selalunya ia akan diselesaikan melalui perbincangan,” tambahnya.

Rabu lepas, Khalid berkata mereka yang ingin PAS meninggalkan PR patut keluar parti itu.

Beliau berkata sekiranya ahlinya berpendapat partinya lebih baik tanpa PR, mereka patut meninggalkan parti dan sertai Umno.

“Sebaik sahaja ahli-ahli ini pergi, barulah PAS boleh menjadi rakan yang efektif kepada PR.”

Pendirian parti Islam tersebut menamakan sekurang-kurangnya dua calon menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membangkitkan persoalan keteguhan PR, memandangkan PKR dan DAP bertegas menamakan calon tunggal Dr Wan Azizah, bagi jawatan tersebut.

Ini berlaku selepas Sultan Selangor mengarahkan setiap parti mengemukakan lebih daripada dua nama calon, membayangkan istana tidak berkenan dengan Dr Wan Azizah.

PAS mengulangi ia akan menghantar dua nama calon MB Selangor kepada Sultan, sekaligus menentang keputusan Majlis Presiden PR mencalonkan hanya Dr Wan Azizah, mengatakan mereka hanya menurut titah Sultan.

PAS juga menimbulkan kemarahan PR sebelum ini apabila mengambil masa terlalu lama memutuskan sama ada menyokong penyingkiran Khalid Ibrahim, dan meskipun digesa membuat keputusan dengan lebih cepat, kepimpinan PAS hanya bermesyuarat seminggu selepas PKR memecat Khalid Ibrahim.

Penganalisis menjangkakan gambaran masa depan suram bagi Pakatan.

Khoo Kay Peng berkata penentangan PAS ini bakal menjatuhkan PR pada peringkat negeri dan kebangsaan.

Ibrahim Suffian dari Merdeka Center juga setuju bahawa kedegilan PAS untuk mencalonkan dua nama pasti “mewujudkan lebih banyak ketegangan” dalam pakatan tersebut.

Bagaimanapun, Khalid memandang ringan isu tersebut dengan mengatakan perbalahan antara PAS dan rakan partinya hanya berkisar aspek “strategi” dan bukan dari segi “prinsip”.

“Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai masalah kerana ia bukannya isu besar,” katanya, pada masa sama mengatakan cabaran terbesar tahun ini ialah memastikan kesinambungan PR.

“PKR dan DAP juga perlu faham pendirian kami supaya mereka juga akan pastikan apa sahaja keputusan yang perlu dibuat, reputasi dan kepentingan kami juga turut dipertahankan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.