KUALA LUMPUR- PAS dan Gerakan didakwa hanya bermain wayang dalam isu derma syarikat arak kepada sekolah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi dalam kenyataannya mendakwa PAS dan Gerakan sama-sama berlakon.
“Gerakan tidak akan keluar PN. PAS dan Gerakan sama-sama berlakon.
“Gerakan tahu PAS hanya berlakon isu arak demi mendapatkan kuasa.
“Percayalah, apabila PAS dapat kuasa nanti, parti itu akan ikut sahaja cakap Gerakan pasal arak. Semua jadi harus,” dakwa Puad.
Kata Speaker DUN Johor itu lagi, PAS tahu Gerakan cuma mengugut.
“Ia (Gerakan) parti nyamuk. Hanya melukut tepi gantang.
“Mana berani keluar PN. Tiada tempat lain untuk mengemis,” bidas Puad.
Baru-baru ini, PAS tidak menolak kemungkinan akan memutuskan hubungan dengan Gerakan susulan pendirian rasmi parti itu berhubung derma syarikat arak kepada sekolah.
Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari menyuarakan rasa ‘sangat kecewa’ terhadap sekutunya dalam PN itu dalam isu terbabit.
“Jika inilah selalu ditonjolkan Gerakan, PRU16 nanti tidak mustahil kita tidak boleh bersama dalam satu ikatan politik,” kata Fadhli.
Sebelum itu, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah.
Menurutnya, langkah itu susulan kerajaan tidak memperuntuk dana mencukupi kepada semua jenis sekolah, sambil menegaskannya tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.
Kementerian Pendidikan mengumumkan Kabinet mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.
Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.
Kabinet akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
Isu sumbangan tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu, menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang.
Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.
Syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah, dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert.