Vida Mahu Berduet Dengan Psy

IPOH: Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Vida, mahu penyanyi Korea Selatan, Psy yang popular dengan lagu Gangnam Style, berduet dengannya berikutan lagu I Am Me semakin mendapat perhatian dunia.

Beliau turut menyasarkan single berkenaan mampu mencapai jumlah tontonan di laman YouTube melebihi 100 juta memandangkan ia semakin mendapat sambutan setiap hari.

Walaupun bukan seorang penyanyi, Dr Vida yakin mampu menyaingi populariti penyanyi Itu yang pernah mencetuskan fenomena dunia.

“Kalau boleh saya nak berduet dengan Psy,” katanya kepada BH Online ketika ditemui di Istana Datuk Vida, di sini hari ini.

I Am Me lagu ciptaan komposer, Edry Abdul Halim itu juga diharapkan mampu menjadi malar segar yang tak lapuk ditelan zaman.

Dalam masa dua minggu disiarkan di laman perkongsian video, YouTube lagu berkenaan sudah mencecah 3.2 juta tontonan di 172 negara.

Dr Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 45 berkata beliau sememangnya berharap lagu itu mendapat perhatian dunia tetapi tidak langsung menjangka sambutannya cukup luar biasa.

“Saya sangkakan ia mengambil masa yang panjang untuk diterima ramai, tapi ternyata lagu ini mampu menjadi tular dalam masa yang singkat.

“Seperti yang saya harapkan ia jadi fenomena bukan saja di negara ini tapi di banyak negara,” katanya.

Dr Vida berkata, beliau memberikan tempoh setahun sebelum muncul dengan lagu baharu.

Malah beliau turut menyatakan keinginan untuk memiliki rancangan bual bicara sendiri.

“Saya juga nak jadi macam Oprah Winfrey yang ada rancangan bual bicara sendiri untuk pasaran dunia.

“Untuk pasaran tempatan memang sudah ada cuma menunggu masa untuk disiarkan di televisyen tempatan dalam masa terdekat,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.