TPM Nasihati Pengundi Cina: Berhenti Ditipu DAP

Masyarakat Cina perlu berhenti daripada terus menjadi mangsa penipuan DAP yang gagal menunaikan janji ditabur mereka kepada rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden itu berkata pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan ke-13 DAP mencanangkan mereka mampu membela rakyat namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

“Sudah dua kali (PRU) mereka (DAP) buat demikian. Mereka boleh berkokok tetapi apabila (rakyat) beri kuasa di Pulau Pinang mereka tidak boleh jadi lebih baik berbanding kerajaan (BN) yang terdahulu.

“Saya seru kepada pengundi Cina, cukup-cukuplah ditipu DAP. PRU ke-14 nanti patah baliklah kepada BN,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Kota Melaka di Bandar Hilir hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Ketua Umno Kota Melaka Datuk Latiff Tamby Chik dan lebih 1,000 perwakilan bahagian itu.

Ahmad Zahid berkata bagi mendapatkan kembali kepercayaan pengundi Cina pada PRU ke-14, BN terutama parti komponen MCA dan Gerakan perlu bekerja keras bagi membuktikan BN mampu membela nasib pengundi masyarakat itu.

Beliau berkata segala cabaran dan tentangan daripada pembangkang perlu dipatahkan, malah perlu terus bekerja keras daripada sekarang bagi menghadapi PRU ke-14 bagi mengelakkan parti itu dijadikan sejarah oleh rakyat.

Tak salah pasang niat

“Saya yakin dengan usaha keras ini kita mampu merampas semula kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang sejak 2013.

“Pada PRU lepas, pihak pembangkang telah memberi cabaran besar kepada kita lebih-lebih lagi dalam menarik sokongan pengundi namun ia tidak seharusnya melemahkan semangat anggota BN untuk bangun meneruskan perjuangan parti,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar anggota Umno jangan menyerah kalah sekiranya tidak mengecapi kejayaan dan terus berjuang bagi menarik sokongan pengundi.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan gerak kerja bagi menghadapi PRU ke-14 perlu menjadi keutamaan bagi setiap anggota Umno berbanding niat untuk bertanding dalam pemilihan parti.

Beliau berkata perkara utama yang perlu menjadi fokus adalah kemenangan parti dalam PRU ke-14 dan beliau tiada sebarang halangan bagi mereka yang berminat bertanding pemilihan parti akan datang.

“Tidak salah untuk memasang niat kerana sesiapa sahaja layak bertanding namun mereka perlu memberi penekanan penuh dalam mempersiapkan jentera dalam menghadapi PRU akan datang.

“Semua anggota Umno jadikan persiapan jentera dan menawan pengundi lebih utama daripada menyiapkan diri sebagai calon dalam pemilihan parti akan datang,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.