Polis Tahan 13 Mat Rempit Dalam Ops Samseng Jalanan

GEORGE TOWN – Seramai 13 mat rempit ditahan kerana pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan berhampiran Astaka Seagate Bayan Baru di Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu, Bayan Lepas dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.Anbalagan berkata dalam operasi selama tujuh jam bermula 2 pagi itu, 13 lelaki berusia 18 hingga 30 tahun tersebut ditahan kerana mempunyai waran tangkap termasuk dua daripadanya positif dadah.

“Hasil risikan dan intipan, polis menjalankan operasi di kawasan itu kerana ia menjadi lokasi mat rempit berlumba haram dan dalam operasi semalam seramai 158 individu termasuk 12 perempuan diperiksa.        

“Kami menahan 11 lelaki kerana mempunyai waran tangkap pelbagai kesalahan dan dua lagi lelaki turut ditahan berikutan positif ganja serta syabu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dalam operasi yang disertai  25 pegawai dan anggota polis trafik itu, pihaknya mengepung di kedua-dua laluan sebelum memeriksa 127 motosikal yang dipercayai berada di situ untuk berlumba haram.

Anbalagan berkata semasa operasi itu, ada mat rempit yang sedang berlumba dan sebaik menyedari kehadiran polis mereka cuba melarikan diri namun gagal.

Katanya sebanyak 35 motosikal disita kerana tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan   Jalan (JPJ).

“Selain itu, sebanyak 116 saman turut dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen, cermin sisi, nombor pendaftaran, ekzos, lampu brek dan pengubahsuaian kenderaan,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 34 waran tangkap turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.