Peniaga Kosmetik Dera Anak Tiri Dihukum Penjara 4 Tahun

PASIR MAS – Peniaga kosmetik dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dan denda sebanyak RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan anak tirinya yang berusia lima tahun sehingga patah tulang belakang, tulang rusuk serta paha pada dua tahun lalu.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Rahayu Hassan, 26, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan muhasabah diakhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Rahayu didakwa telah menyebabkan kecederaan parah kepada Nur Zuliana Zaa’ra Zulkifli atau dikenali sebagai Yaya yang ketika kejadian berusia 5 tahun di sebuah rumah di Kampung Bagus Rantau Panjang di sini antara Januari hingga Mei 2015 dan dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menganiaya hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada tempat dan masa yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Bagi pertuduhan pertama, wanita terbabit dijatuhi hukuman denda sebanyak RM15,000, sekiranya gagal bayar akan dikenakan hukuman penjara selama lima bulan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia dikenakan hukuman penjara selama empat tahun berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dilaksanakan dengan syarat jumlah jaminan dinaikkan kepada RM30,000 selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Selain itu , tertuduh wajib melaporkan diri di Balai Polis Rantau Panjang sebulan sekali.

Sementara itu, bapa kandung Yaya, Zulkifli Che Othman, 41, didenda sebanyak RM12,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dipercayai diseksa dan didera oleh ibu tirinya sendiri sehingga patah tulang belakang, tulang rusuk serta paha sebelum dibiarkan menderita tanpa sebarang rawatan. -Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.