Pengantin Berkasut Roda Ketika Majlis Upacara Pernikahan Mereka Sendiri

RIYADH – Jika sebahagian besar masyarakat Arab Saudi ingin terus mengekalkan warisan tempatan ketika mengadakan majlis perkahwinan mereka, berbeza pula bagi pasangan pengantin baharu ini.

Malah, menurut laporan media tempatan, kedua-dua mempelai ini berjaya memecahkan tradisi lama masyarakat setempat apabila tampil menghadiri upacara pernikahan mereka sendiri dengan memakai kasut beroda!

Secara kebetulan, si pengantin lelaki, Hussein Mahfouz, merupakan seorang atlit profesional kasut beroda negara Asia Barat tersebut, dan dia turut memuat naik beberapa gambar sekitar suasana majlis perkahwinannya.

Ia juga menunjukkan bagaimana dirinya membuka kasut dipakainya serta kasut isterinya sebelum menggantikannya dengan kasut beroda. Bahkan, mereka turut beraksi dengan meluncur dalam dewan majlis tersebut!

Hussein memberitahu stesen penyiaran Al Arabiya bahawa apabila beliau mula mencadangkan idea unik itu untuk muncul dalam acara pernikahan dengan memakai kasut beroda kepada isterinya, wanita itu juga tidak kisah.

Pengantin perempuan tersebut juga menganggapnya sebagai cara terbaik untuk menyokong dan menggalaknya dapat lebih mencapai impian dirinya dengan berjaya dalam lebih banyak pertandingan.

Ini, menurut Hussein, mendorongnya untuk lebih bersemangat dalam sukan tersebut ketika beliau perlu menyertai lebih banyak pertandingan kasut beroda dan sekali gus, mewakili pasukan Arab Saudi.

Bagi isterinya pula, menurut Hussein, beliau turut mempunyai kemahiran yang cukup untuk bermain kasut beroda dan turut memakainya semasa majlis perkahwinan itu.

Semua hadirin pada majlis berkenaan turut menyukai dan mengalu-alukan idea tersebut dengan tepukan gemuruh, memandangkan ia adalah sesuatu yang lari daripada kebiasaan dan membuat orang ramai teruja.

Beliau dan secara kebetulan kembar lelakinya, Hassan, turut menyertai program pencarian bakat tempatan, “Arabs Got Talent”, yang juga menaikkan nama mereka menerusi laman media sosial.

Hussein turut menduduki tempat ketiga di peringkat Asia dan ke-10 di peringkat antarabangsa, menurut Al Arabiya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.