Penampilan Sheila Dirindu

Untuk seorang penyanyi berpengalaman dan terkenal dengan profil kerjanya yang lancar dan bergerak dalam graf yang cantik, kemunculan Datuk Sheila Majid, 52, dalam konsert memang dinantikan.

Tidak hairanlah tiket untuk konsertnya, Sheila Majid The Concert Kuala Lumpur 2017 habis dijual dua minggu sebelum ia berlangsung.

Siapa kata konsert di Malaysia tidak dapat dijayakan secara gemilang dalam aspek penjualan tiket. Bakal berlangsung di Stadium Negara pada 5 Ogos depan, Sheila meluahkan rasa syukur atas sambutan diberikan.

Katanya, barisan tenaga kerja konsert kini giat mengadakan latihan untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Ini juga kali keempat penyanyi digelar Ratu R&B itu mengadakan konsert di Stadium Negara.

“Persiapan konsert ini dilaksanakan setahun awal dan fokus kepada barisan pemuzik dan penyanyi bermula sejak bulan puasa lalu.

“Banyak perkara dirancang awal dan semuanya bergerak sekarang. Kali ini saya lebih tenang dan hanya menunggu masa membawakan konsert ini ke pentas Stadium Negara pada 5 Ogos,” katanya.

Ketenangan itu tentu sahaja berbekalkan tenaga kerja dan pemuzik yang berpengalaman dan sudah lama mengenali Sheila.

Konsert tajaan IME Wellness ini berada di tangan yang tepat. Mac Chew bertindak sebagai Pengarah Muzik manakala Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert.

Kata Sheila, dia tidak mahu terlalu yakin tetapi bersyukur kerana semuanya seperti mendapat restu apabila segalanya berjalan cantik dan mendapat perhatian peminat yang sudah lama menantikan konsert solonya.

Mengenai cabaran konsert kali ini, Sheila akui satu kesukaran untuk produksi konsert ini mungkin pada pemilihan lagu kerana banyak lagunya yang hit dan boleh dinyanyikan bersama.

“Banyak lagu tercicir tetapi saya tidak mampu untuk puaskan hati semua orang. Orang yang selalu menonton saya mungkin mahukan saya menyanyi lagu yang jarang saya persembahkan.

“Namun saya perlu melihat dalam skala lebih besar kerana ada yang tidak melihat saya di pentas selama 10 atau 16 tahun,” katanya.

Ikut kata hatinya, Sheila mahu menyanyikan lagu yang jarang didendangkan tetapi dia tahu konsert ini bukan untuk dirinya tetapi persembahan istimewa buat peminat.

Kata Sheila, dia pernah menutup impian untuk mengadakan konsert solo di tanah air sendiri kerana faktor ekonomi dan semasa yang berlaku di Malaysia.

Selepas sering dilihat menjayakan konsert di negara seberang, rezeki datang bergolek apabila ada pihak berminat menaja konsertnya di Kuala Lumpur.

“Jadi kenapa tidak? Saya keluar dengan album baru iaitu Boneka dan dapat tawaran mengadakan konsert. Jadi saya akan dendangkan juga lagu-lagu baru untuk pendengaran peminat saya,” katanya.

Peluang artis baru belajar

Mereka yang hadir menyaksikan konsert Sheila tidak hanya berhibur, juga belajar kerana banyak yang boleh dipelajari daripada perjalanan konsert penyanyi yang meletup namanya melalui lagu Sinaran pada 1986.

Berpeluang melihat perjalanan konsert ini, satu hal yang patut diambil berat ialah persiapan keseluruhan yang sangat profesional.

Ia sesuatu yang tidak harus dilepaskan bukan saja peminat, juga insan seni tanah air khususnya artis-artis baru yang mahu mendalami dunia seni.

Kedatangan mereka ke konsert ini sewajarnya mendalami bagaimana pergerakan konsert diadakan. Dari aspek produksi, tenaga kerja dan apa yang dipersembahkan di pentas, perlu didalami generasi baru.

Ini juga termasuk teknik mengawal dan menarik perhatian penonton yang datang dengan rasa ghairah melihat penyanyi kesayangan mereka.

Kita semua sedia maklum kepakaran Sheila bermain dengan kata-kata dan jenaka untuk menghiburkan. Begitu juga dengan lontaran vokal dan emosinya yang bersatu dalam setiap lagu yang dinyanyikan.

Dalam hal ini, Sheila akui dia buat skrip sendiri walaupun untuk persembahan skala kecil. Baginya, apabila berada di pentas, dia boleh saja terlupa dan hilang infomasi.

Kata Sheila, ketika berada di pentas dia tidak hanya menyanyi, juga perlu belajar cara berdiri, memegang mikrofon.

“Apabila mikrofon sudah berada di tangan, kitalah yang berkuasa untuk pentas itu. Saya kena belajar semua dengan sendiri. Belajar berdasarkan pengalaman.

“Orang sekarang ada latihan dan kelas untuk semua ini dan saya tiada. Jadi kita kena tahu dan belajar sendiri. Kita memang tiada platform sesuai untuk pembelajaran ini.

“Latihan saya berdasarkan persembahan-persembahan yang saya lakukan. Belajar bagaimana mengawal dan bertindak balas dengan penonton,” luahnya.

Menurut penyanyi Ku Mohon ini, semua harus berada dalam persiapan yang rapi. Pada aspek lagu yang hendak dinyanyikan hinggalah kepada pergerakan dan transisi setiap lagu perlu diambil berat.

Katanya, seseorang penyanyi perlu tahu bagaimana mencantumkan suasana dan mood yang diberikan kepada penonton.

“Naik ke atas pentas dan lagu pertama sahaja kita perlu tahu bagaimana menarik perhatian semua. Kalau penonton lambat panas, kita perlu tahu bagaimana mahu memanaskan suasana.

“Itu yang saya tidak tidur sampai jam 3 pagi sebab saya memang banyak berfikir,” katanya.

Kedatangan penonton ke konsert ini nanti tidak semata-mata mendengar lagu yang sudah lama tidak dipersembahkan di pentas skala besar, malah mengambil tahu dan menitikberat pelbagai aspek kenapa konsert ini mendapat perhatian.

Selebihnya juga menghargai kewujudan artis tempatan yang sepanjang zaman menjaga kualiti kerjanya hingga tiada galang ganti di tempatnya tersendiri.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.