Kumpulan Pertama Jemaah Haji Malaysia Selamat Tiba Di Mekah

MEKAH – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi, tiba di maktab penginapan Hotel Abraj Al-Janadriyah, di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada seramai 278 orang tiba sekitar pukul 2 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia).

Ketibaan mereka disambut Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan), Nurrin Anuwar Shamsuddin serta wakil pengendali jemaah haji Mekah, Muasasah Asia Tenggara.

Kesemua jemaah haji itu juga diberikan sambutan meriah oleh Petugas Tabung Haji yang terdiri daripada pelbagai perkhidmatan sebaik sahaja mereka turun dari bas selepas pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada 8 pagi waktu tempatan (1 petang waktu Malaysia).

Jemaah haji ini kemudiannya diberikan sambutan dengan minuman air zamzam dan manisan, sebelum dibawah ke bilik penginapan yang telah disediakan oleh pihak pengurusan maktab di sini.

Di Hotel Abraj Al-Janadriyah ini menempatkan dua maktab penginapan iaitu maktab 74 dan 75 dengan jumlah jemaah sekitar 5,000 orang.

Sebanyak 112 penerbangan yang membawa jemaah haji ke Madinah dan Mekah secara beperingkat dengan penerbangan akhir pada 26 Ogos ini.

Pada tahun ini seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan berada di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah dalam Musim Haji 1438 Hijrah.

Sementara itu penerbangan kumpulan kedua dari KLIA akan tiba pada lewat petang dengan membawa 420 orang jemaah lagi, yang turut menginap di hotel yang sama.

Semua jemaah haji yang tiba ini akan melakukan umrah pertama mereka di Masjidilharam selepas mengenai pakaian ihram sebelum berlepas dari tanahair.

Suhu di Mekah pada waktu ini adalah 47 darjah celsius dan jemaah dinasihatkan oleh pengurusan di sini supaya banyakkan minum air. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.