Isu Keluar Masuk Umno, Dr Mahathir Sudah Kehabisan Modal Politik Kata Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak menyertai semula UMNO walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi menjadi perdana menteri menunjukkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sudah kehabisan modal politik kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata isu keluar dan masuk semula parti bukan perkara baharu bagi Dr Mahathir kerana beliau sudah beberapa kali berbuat demikian.

“Saya rasa Tun dah tidak ada modal lagi, hari-hari ada cerita baharu. Sama ada beliau balik kepada UMNO atau tidak, saya hendak tanya kepada anggota UMNO, kalau beliau hendak balik kepada UMNO pun, anggota UMNO akan terima beliau balik?” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Bandar Tun Razak, di sini hari ini, petik Bernama.

Beliau mengulas laporan media yang memetik pengakuan Dr Mahathir sebagai berkata beliau tidak akan kembali kepada UMNO walaupun Najib tidak lagi menjadi perdana menteri, melalui video klip yang dimuat naik di laman Facebook PPBM.

Dalam pada itu, mengenai hasrat UMNO bahagian Bandar Tun Razak yang mahu wakil mereka diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Hishammuddin berkata beliau akan membawa perkara itu kepada pucuk pimpinan parti.
 
Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak merupakan kerusi tradisi yang ditandingi MCA.

Pada PRU12, PRU13 kerusi Parlimen itu dimenangi PKR menerusi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kemudiannya menjadi wakil rakyat bebas.

Di KOTA BELUD, anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob pula berkata Dr Mahathir tidak boleh mengganggap UMNO sebagai milik peribadi dan tiada sesiapa pun mempunyai kelebihan untuk keluar masuk UMNO sesuka hati.

“Bila tidak suka Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), dia (Dr Mahathir) keluar (UMNO); bila gaduh dengan Tunku Abdul Rahman, dia keluar , bila tidak suka Datuk Seri Najib, dia keluar. Tak boleh la.  Perjuangan UMNO bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk orang Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Katanya UMNO pun tidak menjemput Dr Mahathir menyertai semula parti itu memandangkan bekas perdana menteri itu sekarang setaraf dengan pemimpin pembangkang lain yang menubuhkan parti semata-mata untuk menjadi musuh UMNO dan menentang kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.