‘Ini Barulah Hero’

Pada awal pembabitannya dalam lakonan, Hairul Azreen, 29, dilabel ‘jambu’ dan disebabkan wajahnya itu, ramai peminat wanita menggilainya.

Hakikatnya, menjadi ‘lelaki jambu’ bukan mudah dan semuanya indah terutama bagi Hairul yang gemarkan genre aksi. Tentu agak sukar untuk dia meyakinkan pengarah dan produser memberi peluang kepadanya memegang watak aksi.

Bagaimanapun, dia diberi peluang menjayakan filem Pak Pong arahan Fauzi Nawawi dan terbaru, sekali lagi kembali dengan watak aksi.

Berkongsi cerita itu, Hairul bersyukur selepas menonjolkan lakonan aksi menarik dalam Pak Pong lalu, dia mendapat semangat untuk buat ‘comeback’ ke dalam industri lakonan tempatan.

Katanya, bermula daripada Pak Pong dia terus diberi semangat oleh pengarah Ahmad Idham dan ditawarkan berlakon cerita aksi. Ketika itu Ahmad Idham sekadar meluahkan sahaja.

“Sudah tentu saya berminat kerana ketika itu saya dilabel dengan imej jambu, jadi saya nak ubah sisi itu dan cuba sesuatu yang lain dari lain.

“Selepas ditawarkan berlakon dalam filem Pencuri Hati Mr Cinderella, Ahmad Idham beritahu yang dia bakal mengarah dan menerbitkan filem aksi dan beberapa filem lain.

“Filem aksi dimaksudkan berjudul Qhaliq, berkaitan kerjaya bomba yang baru sahaja tamat penggambaran minggu lalu,” katanya.

Kata Hairul, melalui Qhaliq dia mendapat aura dan semangat baru untuk kembali berlakon selepas sekian lama ditanya peminat mengenai kemunculan barunya.

Apatah lagi sebelum ini dia sibuk dengan perniagaan dan keluarga sejak beberapa tahun lalu.

“Alhamdulillah, sekarang boleh dikatakan saya agak sibuk berlakon satu demi satu filem. Dalam Qhaliq, saya pegang watak utama. Selepas ini, ada satu lagi tawaran filem aksi pegang watak komando yang dijangka menjalani penggambaran pada Ogos ini.

“Pada Mac tahun depan, saya akan terbabit dengan satu lagi filem aksi tempatan tetapi akan menjalani latihan aksi di Thailand,” katanya teruja.

Melihat pada rezeki semakin mencurah-curah dalam genre aksi, Hairul akui sedari dulu memang bercita-cita untuk berlakon dalam filem genre itu terutama selepas menjadi juara Fear Factor Malaysia beberapa tahun lalu.

Katanya, biarpun dia mempunyai latar belakang kukuh sebagai pelakon lagak ngeri (stuntman), peluang untuk pegang watak besar dalam cerita aksi tidak pernah berpihak kepadanya.

“Antara sebab penghalang ialah faktor fizikal yang kurus, rambut pacak dan wajah kebudak-budakan. Disebabkan itu, saya nekad mengubah penampilan diri dengan aktif membina otot di gimnasium dan ‘berpanas’ di bawah matahari agar kulit lebih gelap,” katanya.

Kata Hairul, selepas berjaya mengubah sisi itu, banyak pihak mulai memujinya terutama di set penggambaran Qhaliq minggu lalu.

“Ketika penggambaran, ketua bomba KL pun memuji. Katanya saya berjaya bawa watak sebagai anggota bomba dan kru semua puji kata ‘ini barulah hero!’

“Kata-kata pujian mereka itu buatkan saya lebih bersemangat dan berasakan pengorbanan saya mengubah fizikal memang berbaloi,” katanya.

Hairul akui pada awalnya memang agak gemuruh kerana berasakan apakah wajah jambunya masih jadi halangan selepas ini.

Tapi selepas dipuji, barulah dia sedar sebenarnya dia boleh mengubah persepsi negatif itu. Apa yang perlu dilakukan ialah perlu banyak berkorban.

Untuk filem Qhaliq, Hairul perlu melalui segala aktiviti latihan seperti anggota bomba sebenar termasuklah bermain dengan api dan berdepan situasi bahaya lain.

Biarpun tidak berdepan dengan insiden bahaya sepanjang penggambaran, banyak perkara baru yang dipelajarinya.

Antaranya dia baru sedar anggota bomba jauh lebih kuat daripada dirinya sendiri. Telahnya, selama ini dia berasakan paling kuat di segi fizikal tapi selepas melalui sendiri aktiviti latihan, persepsi Hairul terhadap anggota bomba jauh berubah.

Selain itu, kehidupan Hairul juga lebih stabil berbanding dulu. Jika dulu dia terpaksa berbagi masa untuk isteri, anak dan bisnes, kini semua perkara itu lebih teratur. Lebih-lebih lagi bisnesnya sudah boleh ‘dilepaskan’ kepada kakitangan yang dipercayai.

“Masa baru kahwin dulu memang agak kelam kabut. Ditambah pula dikurniakan anak, banyak perkara saya kena fokus. Sekarang semua itu sudah diatur dengan baik.

“Saya juga tiada masalah untuk kembali berlakon sebab pengalaman lalu sudah ada. Watak juga lebih serius dan matang,” katanya.

Hairul dan keluarganya merancang untuk melakukan umrah pada Disember ini sebelum terbang ke Thailand pula pada Januari depan.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.