Hawaii Haramkan Telefon Pintar Kepada Pejalan Kaki

HONOLULU – Pihak berkuasa Hawaii akan menguatkuasakan larangan orang ramai melihat telefon bimbit atau menghantar mesej ketika melintas jalan bermula Oktober ini.

Menurut Reuters, tindakan terbaru itu menjadikan Honolulu sebagai bandar pertama di Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan undang-undang berkenaan bagi mengurangkan kece­deraan dan kematian akibat kelekaan menatap telefon bimbit semasa berjalan.

Larangan berkenaan dilaksanakan ketika kebanyakan bandar di negara ini bergelut bagaimana untuk melindungi golongan ‘zombi telefon pintar’ sehingga menyebabkan mereka tercedera kerana melanggar objek tidak bergerak, lapor Kosmo.

Bermula 25 Oktober ini, pejalan kaki Honolulu bakal berhadapan denda antara AS$15 (RM64) hingga AS$99 (RM424) bergantung kepada jumlah kekerapan ditahan polis atas kesalahan melihat telefon atau peranti tablet ketika mereka melintas jalan.

“Kami sekarang meme­gang rekod paling ramai pejalan kaki dilanggar ketika melintasi jalan raya terutama membabitkan golongan dewasa berban­ding bandar-bandar lain,” kata Datuk Bandar Honolulu, Kirk Caldwell,

Kajian oleh Universiti Maryland menunjukkan lebih 11,000 kecederaan berlaku membabitkan kecuaian akibat melihat te­lefon bimbit semasa berjalan di seluruh AS antara tahun 2000 hingga 2011.

Caldwell menandatangani undang-undang itu pada Khamis lalu selepas menerima kelulusan daripada Majlis Perbandaran pada awal bulan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.