Dr Mahathir Tak Balik Pun Tiada Masalah Kata PM Najib

LIPIS – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, keengganan Tun Dr Mahathir Mohamad kembali kepada UMNO tidak memberi kesan terhadap parti kerana apa paling penting adalah sokongan tiga juta ahli akar umbinya.

Beliau berkata, UMNO pernah berdepan kegetiran apabila pengasasnya, Datuk Onn Jaafar, keluar namun parti keramat yang sentiasa memperjuangkan nasib orang Melayu dan Bumiputera itu terus subur sehingga kini.

“Apabila Tun Mahathir kata tidak mahu kembali kepada UMNO, teruskanlah. Dia tidak balik pun tiada masalah, saya bukan takbur atau hina dia.

“Saya sedar dengan penuh tawaduk, kalau jadi Presiden parti tidak akan kuat tanpa sokongan tiga juta ahli UMNO,” katanya, lapor BH.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Najib turut membidas Dr Mahathir yang sering menyerangnya terutama dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan bekas Perdana Menteri itu sendiri gagal ketika mentadbir dengan mengalami kerugian berbilion ringgit.

“PROTON gagal, kita kena selamatkan dengan beri RM1.5 bilion dan tambah lagi RM1.5 bilion. PERWAJA, MAS dan Bakun pun rugi, semua `bail out’ (diselamatkan).

“Sejumlah RM33 bilion rugi zaman dia akibat kerugian pertukaran asing (forex) siapa hendak jawab? Nanti dia jawablah kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Mengapa dia sebut 1MDB dan kata ada masalah, ia mempunyai aset serta tanah yang boleh menarik pelabur dan dapat keuntungan,” katanya.

Najib turut mengingatkan rakyat Malaysia bahawa menukar kerajaan bukan jaminan terhadap penyelesaian masalah, malah dikhuatiri memudaratkan negara dengan mengambil iktibar peristiwa kebangkitan rakyat di Asia Barat ketika Arab Springs.

“Menukar kerajaan bukan penyelesaian. Kalau lebih baik masuk akal, kalau lebih buruk lebih mendatangkan bala dan bencana.

“Doktor saya di Institut Jantung Negara (IJN) beritahu ada pesakitnya dari Iraq apabila ditanya mana lebih baik dulu atau sekarang.

“Dia kata seburuk-buruk zaman Presiden Saddam Hussein sekurang-kurangnya mereka ada makanan atas meja, anak boleh ke sekolah, ada keamanan.

“Sekarang lihatlah, hancur lebur semuanya. Itu sebabkan menjatuhkan kerajaan sedia ada tidak menjanjikan kerajaan yang lebih baik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.