Bagaimana HARAPAN Nak Bina ‘Rumah’ Dengan Tukang Lama?

Menteri Besar Johor hari ini memperolok-olokkan Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana menggunakan kaedah yang dianggapnya tidak betul dalam kempen mereka untuk membina semula negara ini.

Menggunakan analogi ringkas Datuk Seri Khaled Nordin berkata pembangkang mendakwa ‘rumah’ yang ada sekarang sudah rosak, bocor, tidak selamat dan perlu dibina semula.

Untuk membina semula rumah tersebut, katanya, mengikut logik akal ia perlu mempunyai strategi dan fasa tertentu yang dilakukan satu demi satu.

“Bukannya robohkan kesemua (rumah), dan bina semula.

“Bina semula (pula mesti) menggunakan tukang yang baru, yang lebih baik, yang lebih pandai,” katanya.

Bagaimanapun, kata Khaled, apa yang mencuit hati ialah, selepas mendakwa negara ini dirosakkan BN, HARAPAN mahu membinanya semula menggunakan pemimpin lama dalam kerajaan persekutuan.

Keadaan itu, katanya, samalah seperti memanggil tukang lama yang bertanggungjawab membina bangunan yang didakwa sudah rosak itu.

“Bukankah rumah tadi dibina oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dibina oleh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim, dibina juga dengan kerjasama Tan Sri Mahyuddin Yassin dan rakan-rakannya.

“Jadi, apa bezanya?” kata Khaled.

Cuma ada trak saja

Beliau bercakap demikian semasa menyampaikan ucapan di Konvensyen BN Johor di Johor Bahru hari ini.

Dr Mahathir ialah bekas presiden Umno dan perdana menteri selama 22 tahun, manakala Anwar dan Muhyiddin pernah menjadi timbalan perdana menteri sebelum kedua-duanya dipecat dari parti.

Ketiga-tiga tokoh itu kini menjadi antara pemimpin utama HARAPAN yang menggiatkan usaha menghapai pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Dr Mahathir kini dilantik sebagai pengerusi HARAPAN, manakala Anwar menjadi penasihat umum.

Muhyiddin yang pernah berkhidmat sebagai menteri besar Johor pula dilantik menjadi timbalan presiden bersama Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara) dan Lim Guan Eng (DAP).

Khaled berkata HARAPAN juga ketandusan idea untuk ditawarkan kepada rakyat.

Sebaliknya, kata beliau, pembangkang tidak mampu menawarkan pelan pembangunan ekonomi untuk Johor, termasuk kepada masyarakat Melayu dan Islam di negeri itu.

“Malah tiada pelan untuk sekolah Cina dan Tamil di Johor.

“Yang ada hanyalah trak Bina Semula Negara oleh Rafizi (Ramli). Itu pun kita dapat lihat yang beliau semakin dipinggirkan oleh rakan-rakan dalam PKR sendiri, sehingga terpaksa bergerak secara solo dan menumpang populariti parti-parti lain,” katanya merujuk kepada Naib Presiden PKR itu.

Kempen Bina Semula Negara digerakkan Rafizi ke pelbagai lokasi terpilih di seluruh negara menggunakan pentas bergerak diperbuat pada lori yang diubah suai.

Ia diisi pelbagai program termasuk ceramah dengan menampilkan pemimpin daripada parti dalam HARAPAN.

Pada 10 Julai lalu Rafizi menyatakan HARAPAN berpotensi memenangi 50 kerusi parlimen, termasuk 15 di Johor semasa PRU14 nanti.

 

Antara kerusi yang disasarkan ialah Johor Bahru, Labis, Segamat, Pulai dan Pasir Gudang yang diketuai oleh Khaled.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.