Australia Gagalkan Cubaan Jatuhkan Pesawat

SYDNEY – Pihak berkuasa Australia berjaya mematahkan ‘rancangan pengganas’ menjatuhkan pesawat menggunakan alat peledak improvisasi (IED) selepas tertangkapnya empat individu dalam satu serbuan di sini.

Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull berkata, operasi bersama membanteras keganasan semalam berjaya menggagalkan rancangan pengganas untuk menjatuhkan pesawat.

Katanya, kawalan keselamatan lebih ketat dikenakan di semua lapangan terbang domestik dan antarabangsa.

“Semua penumpang dimaklumkan agar tiba dua jam lebih awal untuk tujuan pemeriksaan, ” katanya.

Bagaimnapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan sama ada rancangan itu disasarkan kepada penerbangan domestik atau antarabangsa tetapi Daily Telegraph Sydney melaporkan ia menyasarkan penerbangan tempatan.

Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia Andrew Colvin berkata, semua suspek yang ditahan dalam siri serbuan seluruh Sydney semalam, dipercayai mempunyai kaitan dengan rancangan kumpulan radikal Islam.

“Sejak beberapa hari kebelakangan ini, penguat kuasa undang-undang menyedari terdapat maklumat mengatakan beberapa individu di Sydney merancang untuk melakukan serangan ganas menggunakan IED,” katanya.

Katanya, polis masih belum mempunyai maklumat berhubung serangan, lokasi, tarikh atau masa kerana penyiasatan dijangka mengambil masa yang lama dan berlarutan.

Canberra menarik semula amaran berjaga-jaga pada September 2014 dan memperkenalkan undang-undang keselamatan kebangsaan baharu ketika meningkatnya kebimbangan terhadap serangan individu yang dipengaruhi oleh organisasi seperti militan Daesh. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.