Anifah Ketuai Delegasi Malaysia Ke Mesyuarat OIC

PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Luar Biasa Terbuka Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki pada 1 Ogos.

Kementerian Luar berkata, mesyuarat akan membincangkan perkembangan terkini di Al Quds Al Sharif, terutama pencabulan Israel terhadap kesucian Masjid Al Aqsa dan keganasan ke atas rakyat Palestin.

Ia berkata, mesyuarat akan menyediakan platform bagi negara anggota OIC menunjukkan sokongan, perpaduan dan komitmen kepada perjuangan rakyat Palestin dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa sebagai tempat suci ketiga umat Islam.

“Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini adalah bukti sokongan teguhnya kepada perjuangan rakyat Palestin,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kementerian Luar berkata, ia juga untuk memastikan persoalan Al Quds Al-Sharif terus mendapat perhatian komuniti antarabangsa, dengan tujuan mengenakan tekanan ke atas Israel supaya mematuhi obligasinya mengikut undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Israel menutup Masjid Al Aqsa pada Jumaat minggu lalu dan tidak membenarkan solat Jumaat diadakan selepas tiga lelaki rakyat Palestin dan dua polis Israel terbunuh dalam pertempuran bersenjata di perkarangan masjid itu.

Masjid itu kemudian dibuka semula untuk umat Islam tetapi dengan mengenakan beberapa syarat. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.