Akibat Muat Naik Gambar Bercuti Sekeluarga Rumah John Terry Dimasuki Perompak Dan Kehilangan RM2.2 Juta

SURREY – ENGLAND. Gara-gara memuat naik gambar percutian bersama keluarga, bekas pemain bola sepak Chelsea, John Terry terpaksa menanggung kerugian kira-kira £400,000 (RM2.2 juta) apabila rumah di Oxshott, Surrey, dimasuki pencuri.

Memetik laporan Daily Mail, insiden dipercayai berlaku pada Februari lalu.

Terry telah berkongsi gambar dia dan isterinya, Toni yang sedang menikmati percutian di French Alps di Instagramnya.

Dalam kejadian itu, sebuah trofi, koleksi novel Harry Potter edisi pertama bernilai £18,000 (RM101,245), wang tunai £30,000 (RM168,741.99) dan batu permata bernilai £219,000 (RM1.23 juta) antara yang dilarikan.

Malah, barang kemas, jam tangan, dan koleksi beg tangan Toni bernilai £126,000 (RM708,716) juga hilang selain kerosakan rumah berjumlah £19,000 (RM106,869.9) kerana digeledah.

Pendakwa, Rossano Scamardella berkata, Terry melakukan kesilapan memuat naik gambar dirinya dan isteri di media sosial dan pencuri mengambil peluang itu untuk memecah masuk kediaman mewahnya dengan bersenjatakan kapak.

Mereka menghabiskan masa selama 45 minit menggeledah bilik tidur utama keluarga itu.

Insiden yang berlaku pada 25 Februari tahun ini disebut buat kali pertama di mahkamah di Kingston pada Khamis.

Darren Eastaugh, 30, Joshua Sumer, 27, Roy Head, 28, dan Oliver Hart, 25, mengaku bersalah terhadap satu siri kejadian pecah rumah di antara 1 Februari dan 27 Mac tahun ini yang melibatkan tujuh kes samun di seluruh Surrey dan Sussex.

Suspek kelima, Kye Hardy-King, 25, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengendalikan barangan curi apabila beberapa harta bernilai ditemui di rumahnya.

Hakim Susan Tapping menjatuhkan hukuman penjara antara lima dan lapan tahun seorang.

Bagaimanapun, semua harta benda Terry yang hilang tidak berjaya ditemui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.