Tiada Istilah Derhaka Dalam UMNO – Md Alwi

Kuala Lumpur – Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad meminta bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima penggugurannya dengan seadanya.

 

Katanya, beliau pernah melihat bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi berundur demi parti dengan penuh sukarela.

 

“Jadilah Timbalan Presiden UMNO yang menempa nama dalam memperkukuhkan parti dan perjuangan walaupun hilang jawatan sebagai TPM.

 

“Jadilah contoh yang ‘uswatun hasanah’ kepada generasi akan datang,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya.

 

Beliau berkata, berpuluh tahun ahli UMNO diasuh dan dididik supaya bersatu, setia dan berkhidmat.

 

Katanya dalam UMNO tidak ada istilah memberontak, derhaka atau seumpamanya.

 

“Sebagai Timbalan kerjanya mengukuhkan Ketua bukan ‘timbok’ (hentam). Jika ada yang tidak kena dengan ketua, timbalan boleh bisik, bincang, tegur tetapi bukan di khalayak ramai.

 

“Imam Shafei pun begitu (tegur bukan dikhalayak ramai) di setiap negara semua mengamalkan prinsip yang sama dalam mengamalkan teguran kepada ketua,” katanya.

 

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, mana-mana pemimpin yang mempertikaikan ketua mereka dikhalayak ramai perlu berundur.

 

“Bila Tun Musa Hitam pertikaikan Tun Dr Mahathir, Tun Musa yang undur. Bila Anwar Ibrahim pertikai Tun Mahathir pun timbalan kena pergi.

 

“Jadi bila Muhyiddin pertikai Najib dia yang perlu berundur,” katanya.

 

Beliau turut berpesan kepada anggota kabinet baru supaya menjaga integriti, amanah bangsa dan berlaku jujur kepada diri dan rakyat.

 

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mewujudkan dan menamakan barisan Kabinet baru barisan adalah hak mutlak Perdana Menteri.

 

Ahli Parlimen Rantau ini juga mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana memasukkan wajah baru dan pemimpin muda.

 

“Sama seperti saya sebagai Menteri Besar, ahli-ahli exco negeri ini dipilih oleh saya dan kita tidak boleh mempersoalkan keputusan-keputusan ini.”

 

“Saya mengucapkan tahniah kepada Najib dan saya berharap barisan Kabinet baru boleh bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan untuk membantu Perdana Menteri,” kata Mohamad kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco negeri di Wisma Negeri hari ini.

 

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana khidmatnya, dan turut mengalu-alukan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu.

 

“Beliau (Muhyiddin) telah banyak menyumbang dan kami mengucapkan terima kasih bagi pihak kerajaan negeri kerana khidmatnya.

 

“Saya yakin bahawa barisan Kabinet baru akan memberi kekuatan yang diperlukan bagi kerajaan persekutuan dan saya mengharapkan yang terbaik.”

 

Muhyiddin turut bersama Mohamad di Seremban untuk melancarkan sebuah sekolah antarabangsa semalam sebelum dia digugurkan dari jawatannya.

 

Apabila ditanya sama ada terdapat apa-apa khabar angin mengenai perkara itu, Mohamad berkata: “Saya tidak tahu.”

 

Semalam, Najib mengumumkan barisan baru Kabinet yang menyaksikan Muhyiddin digugurka sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan jawatan itu diambil alih oleh Ahmad Zahid disamping mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.