Tiada Halangan Untuk PAC Terus Siasat 1MDB

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) boleh berfungsi seperti biasa walaupun beberapa ahlinya kini dilantik untuk menganggotai kabinet.

 

Naib Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw berkata tiada halangan untuk PAC meneruskan mesyuaratnya pada Ogos depan dan menyiasat beberapa isu terutamanya yang berkait rapat dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

“Kami masih boleh menjalankan tugas, menjalankan kerja dan membuat kerja seperti biasa dan tidak menjadi masalah.

 

“4,5,6 Ogos untuk PAC mememanggil Ketua Pegawai Eksekutif, untuk Ahli Lembaga dan kalau ikut peraturan, ini mesti diteruskan…

 

“Selepas Datuk Nur Jazlan menjadi Timbalan Menteri dengan secara serta merta dia tidak menjadi ahli PAC lagi dan dia tidak berhak bercakap atas kapasiti PAC lagi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas mengenai kenyataan terkini bekas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa Mesyuarat PAC yang akan berjalan pada Ogos ini direhatkan buat sementara waktu ekoran berlakunya rombakan dalam Kabinet.

 

Rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebabkan PAC ‘kehilangan’ Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai pengerusinya serta 3 anggota lain yang terdiri daripada ahli Parlimen UMNO.

 

Semalam DAP memberitahu bahawa PAC masih boleh meneruskan kerja seperti biasa dengan Tan sebagai naib pengerusinya, walaupun ia tidak mempunyai seorang pengerusi buat masa ini.

 

Ini kerana ahli Parlimen DAP itu dilantik oleh Parlimen dan mempunyai anggota kerja mencukupi untuk meneruskan siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1MDB.

 

Tan bagaimanapun menegaskan pengguguran Jazlan daripada PAC tidak akan memberi kesan kerana masih tertakluk kepada peraturan tetap mesyuarat Parlimen.

 

“Mesyuarat PAC tidak akan tergantung kerana Jazlan dilantik menjadi ahli jemaah menteri bermakna serta-merta dia tidak menjadi ahli PAC lagi ini dan sudah ada di dalam peraturan tetap.

 

“Dalam peraturan tetap, dia kata seorang pengerusi jika tiada timbalan, maka seorang ahli boleh juga dilantik sebagai seorang pengerusi.

 

“Korum dia itu sepatutnya satu pengerusi, tiga ahli, empat orang tinggalkan PAC tetapi kita masih ada sembilan orang dalam PAC.

 

“Sekarang ini ada lima pembangkang dan empat daripada BN,” katanya lagi.

 

Beliau dalam pada itu mempersoalkan tindakan Jazlan yang mengumumkan siasatan ke atas 1MBD akan ditangguhkan sehingga parlimen bersidang Oktober depan.

 

Alasan Jazlan itu dilihat langsung tidak masuk akal, katanya.

 

“Tidak timbul soal PAC tergantung dan saya tidak tahu mengapa Jazlan keluarkan kenyataan seperti itu.

 

“Tindakan itu, kita akan teruskan, cuma kalau ada orang sabotaj, kami tidak boleh buat apa-apa.

 

“Tetapi tidak akan menjejaskan tugas kita kerana PAC itu dibentuk demikian untuk mengatasi masalah perubahan mengejut (rombakan kabinet) seperti ini,” katanya.

 

Dalam pada itu, usaha Antarapos untuk menghubungi Jazlan gagal kerana beliau tidak mengangkat telefon.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.