Tertuduh Utama Kes Letupan Di Mumbai Pada 1993 Digantung Esok

Tiada waran penangguhan dikeluarkan terhadap hukuman gantung ke atas tertuduh utama kes serangan pengganas terburuk di India pada 1993, mengakibatkan 257 orang terbunuh dalam siri letupan bom di Mumbai.

 

Menerusi keputusan Mahkamah Agung, Yakub Memon akan dihukum gantung sebelum pukul 7 pagi esok di Penjara Pusat Nagpur di negeri Maharasthra.

 

Panel hakim tiga anggota menolak petisyen akhir dikemukakan peguam bela Yakub yang mencabar hukuman mati itu dan memutuskan tidak berlaku sebarang pencabulan terhadap hak asasi pempetisyen.

 

Mahkamah tertinggi itu juga memutuskan tidak berlaku pelanggaran prosedur, menyatakan hukuman diputuskan Mahkamah Tinggi Mumbai adalah sah.

 

Panel itu bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Mukul Rohatgi yang mewakili kerajaan Maharastra.

 

Esok adalah hari jadi ke-54 Yakub. Dua hari lepas pihak berkuasa penjara membenarkan dia menyambutnya bersama-sama isteri dan anak perempuannya.

 

Presiden Pranab Mukherjee menolak rayuan pertamanya bagi pengampunan dan Yakub telah memfailkan petisyen baharu hari ini, sebagai usaha terakhir untuk membatalkan hukuman mati itu.

 

Sebanyak 11 orang dijatuhi hukuman mati berkaitan serangan pengganas itu, namun Yakub merupakan satu-satunya tertuduh yang tidak diberikan pengampunan.

 

Saluran berita terkemuka NDTV melaporkan sekumpulan tokoh tempatan termasuk ahli politik, juri dan hakim yang telah bersara turut meminta presiden India memberikan pengampunan kepada Yakub, atas alasan berbanding,

 

“10 yang lain yang meletakkan bom dan memainkan peranan lebih kritikal dan secara langsung.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.