SPRM Nafi Pegawai Terlibat Konspirasi Jatuhkan Kerajaan

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pegawai kanannya terlibat dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan seperti yang didakwa beberapa kenyataan blog.

 

Katanya, pegawai kanan SPRM menjalankan tugas menyiasat kes berkaitan rasuah mengikut arahan dan di bawah pengetahuan Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassim Mohamed, dan bukannya bertujuan mahu menjatuhkan mana-mana pihak termasuk kerajaan.

 

“Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa ‘fear or favour’ dan tanpa mengira siapa yang terlibat.

 

“SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan,” kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.

 

SPRM sekali lagi turut menafikan terlibat dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebaliknya hanya menyiasat anak syarikatnya SRC Internationational Sdn Bhd, seperti yang dipersetujui oleh pasukan petugas khas.

 

Mengulas ketiadaan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selepas disingkirkan daripada jawatannya pada Selasa lalu, SPRM berkata sama ada dengan atau tanpa pasukan petugas khas, pihaknya memberi jaminan siasatan ke atas SRC International akan diteruskan sehingga lengkap sepenuhnya sebelum dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk kajian dan keputusan.

 

Katanya, bagi melengkapkan siasatan SRC International Sdn Bhd, SPRM masih lagi mengesan beberapa saksi penting.

 

“SPRM memohon kepada orang ramai agar memberi ruang kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

 

Penyingkiran mengejut Gani menimbulkan spekulasi termasuk media antarabangsa yang melaporkan tindakan itu dibuat supaya perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menerima tekanan kerana skandal 1MDB terus kekal mentadbir negara.

 

Jawatan peguam negara kini diambil alih hakim mahkamah persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkuat kuasa 28 Julai lalu.

 

Lima panel pengawasan bebas SPRM dalam kenyataan semalam berkata, pasukan petugas khas harus dibenarkan untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

 

Pengerusi 5 panel itu ialah Tan Sri Abu Zahar Ujang (Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah), Tan Sri Hamid Bugo (Panel Penilaian Operasi), Tan Sri Wilson Baya Dandot (Jawatankuasa Aduan) dan Tan Sri Johan Jaaffar (Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah).

 

Mengulas pelantikan Apandi, mereka menggesa peguam negara yang baharu itu “kemas kini yang jelas” berhubung perkembangan terkini siasatan bagi mengelakkan persepsi negatif orang ramai terhadap agensi dalam pasukan petugas tersebut.

 

“Lima panel bebas yang memantau perjalanan SPRM mahu siasatan berhubung isu 1MDB dijalankan dengan bebas, telus dan profesional serta berkesan tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak ketiga atau dikenakan apa-apa bentuk tekanan ke atas agensi penyiasat yang menganggotai pasukan petugas khas.

 

“Dalam hal ini, kami dengan tegas menggesa integriti SPRM sebagai sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang bebas, perlu dipertahankan dan tidak wajar dikompromi sama sekali,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.