Remaja Perempuan Ditahan Dengan Lebih 1,000 Pil Kuda

Pasir Puteh – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun antara tiga yang ditahan polis bersama lebih 1,000 biji pil kuda serta tiga paket ketulan kristal di sebuah rumah di Kampung Dalam Rhu dekat Cherang Ruku, di sini, jam 2.30 petang kelmarin.

 

Dua lagi yang ditahan adalah seorang perempuan berusia 23 tahun dan remaja lelaki berusia 19 tahun.

 

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan lapan anggota selepas mendapat maklumat dan intipan.

 

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan seorang lelaki berada di ruang tamu manakala dua perempuan bersembunyi di dalam bilik.

 

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik polis menemui beg sandang berisi senjata jenis berambut, satu beg kecil dan di dalamnya mengandungi lebih 1,000 biji pil kuda dan tiga paket plastik cerah mengandungi ketulan kristal,” katanya.

 

Pemeriksaan rapi juga menemui sepucuk pistol tiruan dan satu kelopak tanpa peluru di atas almari di rumah berkenaan.

 

Bagaimanapun, ujian air kencing yang dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek berusia antara 14 hingga 23 tahun mendapati kesemua mereka negatif dadah.

 

Dipercayai tiga remaja terbabit adalah rangkaian pengedaran dadah di daerah terbabit dan kemungkinan rumah terbabit dijadikan sebagai pusat pengedaran dan pembungkusan dadah sebelum diedar ke kawasan lain berdekatan. – The Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.