Pemimpin GHB Batal Kunjungan Ke Rumah Muhyiddin

Kuala Lumpur – Kumpulan pemimpin progresif PAS yang bergelar Gerakan Harapan Baru (GHB) yang sepatutnya mengadakan kunjungan ke rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini, dipercayai membatalkan kunjungan tersebut.

 

Mereka yang dijadualkan tiba pada kira-kira jam 10 malam tadi, tidak kelihatan di kediaman bekas timbalan perdana menteri itu meskipun sudah jam 11.30 malam.

 

Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang merupakan Pengerusi GHB kemudiannya memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa mereka tidak dapat mengadakan kunjungan hormat seperti yang dirancang.

 

Usaha untuk menghubungi Setiausaha GHB, Dr Dzulkefly Ahmad bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu juga gagal.

 

GHB merupakan sebuah platform politik baru yang disebut-sebut akan jadi parti serpihan kepada PAS.

 

Mohamad Sabu yang dihubungi oleh Astro AWANI awal tadi, mengesahkan beliau adalah antara yang akan ke rumah Muhyiddin.

 

Beliau merupakan pengerusi protem GHB yang akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat.

 

Selain Mohamad, beberapa nama lain turut disebut antaranya bekas Naib Presiden UMNO yang kemudiannya menyertai PAS, Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

 

Sementara itu, Muhyiddin dilaporkan menghadiri majlis jamuan hari raya Aidilfitri Yayasan TSM Charity Golf di ibu negara.

 

Kumpulan petugas media masih lagi berkumpul di perkarangan kediaman Muhyiddin bagi mendapatkan reaksi beliau berhubung video perbualannya ketika Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir berkunjung ke kediamannya.

 

Video perbualannya berhubung 1MDB itu kini tersebar luas di laman sosial.

 

Muhyiddin yang digugurkan daripada kabinet Perdana Menteri pada Isnin menerima kunjungan ramai kenalan politik di kediamannya dalam tempoh 24 jam yang lalu. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.