Pasangan Kekasih Belasan Tahun Ditahan Miliki Dadah

PASIR PUTEH  – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan pasangan kekasih serta kakak teman lelakinya ditahan kerana memiliki dadah bernilai kira-kira RM42,000 di sebuah rumah di Kampung Dalam Rhu dekat sini semalam.

 

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhamad berkata, sebanyak 850 biji pil kuda, 240 biji eramin 5 dan 9.7 gram syabu dirampas selepas ditemukan dalam sebuah beg sandang.

 

Menurutnya, turut dirampas ialah sepucuk pistol tiruan tanpa peluru dan kerambit selepas rumah berkenaan diselongkar menerusi Ops Tapis yang dijalankan pada pukul 2.30 petang.

 

“Remaja lelaki berusia 19 tahun dan kakaknya ditahan reman selama tujuh hari manakala kekasihnya direman selama empat hari mulai semalam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh hari ini.

 

Abdul Rozak berkata, sebuah kereta proton satria turut disita bersama rampasan wang tunai berjumlah lebih RM1,000.

 

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan untuk menjejaki rangkaian pengedaran dadah yang membabitkan remaja dan pelajar sekolah. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.